Imran Bard masih belum bertemu, Ellie Suriaty beri kata dua

AKTRES, pengarah dan guru lakonan terkenal, Ellie Suriaty memberi kata dua kepada pempengaruh media sosial iaitu Imran Bard untuk membuat permohonan maaf secara bersemuka sebelum Syawal atau berdepan tindakan lanjut.
Tegas pemilik nama penuh Ellie Suriaty Omar, 54, sehingga kini isu berkenaan masih belum selesai kerana Imran masih belum datang bersemuka dengannya dan meminta masa untuk berbuat demikian.
"Dia ada hubungi saya menerusi DM (mesej terus di Instagram) beritahu masih berada di kampung dan akan bertemu dengan saya bila turun ke Kuala Lumpur. Saya berpegang pada janjinya untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku.
"Jadi saya beri masa kepadanya untuk berjumpa saya, mungkin hingga hari raya nanti untuk meminta maaf secara berdepan.
"Sekiranya dia masih berdegil, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk tindakan lanjut," katanya ditemui pada Sidang Media dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025 di Bandar Utama pada Rabu.
Ditanya kemungkinan dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, Ellie tidak menolak berbuat demikian.
Bagaimanapun dalam masa sama, tiada nilai yang mampu memulihkan kembali maruah diri yang sudah tercemar gara-gara keterlanjuran yang dilakukan pempengaruh itu.
"Ada yang kata dia bantu naikkan nama saya sehingga saya dapat tawaran berlakon filem Syamsul Yusof, walhal tawaran itu datang sebelum isu ini lagi.
"Video itu sudah ditonton 1.3 juta sebelum saya membuat sidang media dan di ruangan komen ramai yang menggelarkan saya macam-macam.
"Selepas sidang media itu, saya banyak terima mesej yang menggelarkan saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain.
"Jadi saya tidak akan senyapkan isu ini kerana bila namanya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat sama ada untuk perkara baik dan buruk," jelas Ellie.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menasihatkan Imran mengenai adab untuk memohon maaf.
"Agama Islam tak mengajar kita minta maaf melalui telefon. Kalau nak minta maaf, kena datang jumpa batang tubuh orang yang kita sudah sakitkan hatinya.
"Lagipun kita bukan tinggal di benua berbeza sehingga dia sukar untuk datang bertemu dengan saya," ujar Ellie.
Imran menerusi Instagram Story (IGs) sebelum ini mendedahkan sudah memohon maaf kepada Ellie berhubung video TikTok dengan kandungan berunsur fitnah yang dimuat naik itu.
Menerusi hantaran yang sama, Imran menjelaskan tujuan menggunakan nama Ellie terjadi secara spontan didorong oleh minat terhadap aktres terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


