SPX Express pupuk bakat dan pertumbuhan wanita dalam industri logistik

Nur Hidayah Tapri, Pengurus Kawasan Last-Mile SPX di Terengganu memastikan beliau belajar semua perkara, termasuk bidang di luar tugasannya, supaya beliau boleh memimpin dengan yakin dan membuat keputusan yang tepa
Nur Hidayah Tapri, Pengurus Kawasan Last-Mile SPX di Terengganu memastikan beliau belajar semua perkara, termasuk bidang di luar tugasannya, supaya beliau boleh memimpin dengan yakin dan membuat keputusan yang tepa
A
A
A

SHAH ALAM – Penglibatan golongan wanita di Malaysia yang semakin menyerlah dalam industri logistik dan SPX Express (SPX) kini berada di barisan hadapan dalam mewujudkan persekitaran kerja inklusif di mana bakat dan dedikasi menjadi penentu kepada kejayaan itu.

Daripada mengurus hab penghantaran hingga memastikan keselamatan tempat kerja dan memandu lori, SPX komited menyediakan peluang sama rata kepada wanita untuk cemerlang dalam industri logistik.

Nur Hidayah memimpin operasi Last-Mile

Bagi Nur Hidayah Tapri, 42, melangkah ke dalam industri logistik pada usia 27 tahun bukan sekadar pilihan kerjaya, tetapi cabaran untuk membuktikan bahawa kepimpinan lahir daripada kepakaran dan pengalaman.

Sebagai Pengurus Kawasan Last-Mile di Terengganu, beliau memahami bahawa untuk meraih kepercayaan, beliau perlu menguasai setiap aspek kerja, daripada perancangan laluan, pengurusan armada, operasi Gudang hingga kepada khidmat pelanggan.

"Dalam tahun-tahun awal, saya pastikan saya belajar semua perkara, termasuk bidang di luar tugasan saya, supaya saya boleh memimpin dengan yakin dan membuat keputusan yang tepat," katanya.

Dengan komitmen terhadap pembelajaran berterusan, Nur Hidayah berjaya meningkatkan keberkesanan aliran kerja, memperbaiki kadar penghantaran tepat waktu dan meningkatkan kepuasan pelanggan.

Kini, beliau mengawasi lima hab last-mile di Terengganu, memastikan kelancaran operasi penghantaran sambil membimbing dan membangunkan pemimpin wanita dalam SPX.

"Di SPX, saya berkembang dalam peranan kepimpinan dengan latihan dan sokongan yang betul, dan kini saya komited untuk membantu orang lain mencapai kejayaan yang sama," tambahnya. Dengan pasukan yang kukuh di bawah bimbingannya, Nur Hidayah aktif menyokong serta membimbing rakan sekerja, mewujudkan persekitaran kerja yang membolehkan semua individu berkembang dengan yakin.

Artikel Berkaitan:

Norasmawani mnerajui keselamatan tempat kerja

Norasmawani Mohd Napiah, Eksekutif Kanan Kesihatan, Keselamatan, dan Persekitaran (HSE) SPX bagi wilayah Pantai Timur, memastikan operasi SPX mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
Norasmawani Mohd Napiah, Eksekutif Kanan Kesihatan, Keselamatan, dan Persekitaran (HSE) SPX bagi wilayah Pantai Timur, memastikan operasi SPX mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.



Sebagai Eksekutif Kanan Kesihatan, Keselamatan, dan Persekitaran (HSE) bagi wilayah Pantai Timur, Norasmawani Mohd Napiah, 33, bertekad memastikan operasi SPX mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.

Beliau bertanggungjawab melaksanakan protokol keselamatan di 34 premis di Pantai Timur, memastikan risiko kemalangan tempat kerja dapat diminimumkan dan setiap lokasi mematuhi piawaian keselamatan yang ketat.

Norasmawani juga memainkan peranan penting dalam melatih pekerja tentang keselamatan tempat kerja, pencegahan kemalangan, dan tindak balas kecemasan.

Melalui audit tapak berkala dan penilaian risiko, beliau mengenal pasti bahaya sebelum ia menjadi masalah, memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk semua kakitangan SPX.

Meskipun masih terdapat tanggapan bahawa wanita kurang sesuai untuk peranan keselamatan, Wanita cekal ini bertekad memecah stereotaip tersebut.

"Wanita sering dilihat terlalu emosional dalam membuat keputusan, tetapi kami telah membuktikan bahawa kami sama kuat, tegas dan berkesan seperti rakan sejawat lelaki," katanya.

Beliau berbangga melihat semakin ramai wanita memegang jawatan penting di SPX

"Di SPX, jantina bukan halangan untuk kepimpinan dan yang penting adalah kemahiran, dedikasi serta kepakaran," katanya.

Nor Ariesa membawa definisi baharu barisan hadapan logistik

Nor Ariesa Ramli, 43, pula mencipta nama di barisan hadapan logistik sebagai pemandu lori yang mahir, mencabar norma industri dengan pengalaman 13 tahun di jalan raya.

Sebagai satu-satunya pemandu wanita dalam pasukannya, beliau telah membuktikan bahawa wanita juga boleh cemerlang dalam bidang yang lazimnya didominasi lelaki, dengan kecekapan dan profesionalisme.

"Ada pelanggan yang terkejut apabila melihat saya di belakang stereng.

"Mereka tak sangka seorang wanita boleh mengendalikan penghantaran, tetapi saya anggap itu sebagai satu pujian kerana ia membuktikan bahawa wanita juga layak berada dalam bidang ini,” katanya sambil tersenyum.

Nor Ariesa Ramli, pemandu lori SPX, menggalakkan lebih ramai wanita meneroka kerjaya dalam industri logistik, menekankan bahawa industri ini menawarkan peluang yang menguntungkan bagi mereka yang bersedia melangkah
Nor Ariesa Ramli, pemandu lori SPX, menggalakkan lebih ramai wanita meneroka kerjaya dalam industri logistik, menekankan bahawa industri ini menawarkan peluang yang menguntungkan bagi mereka yang bersedia melangkah

Di SPX Bukit Raja, Ariesa menemui tempat kerja yang teratur dan mempunyai sistem sokongan yang kukuh.

Walaupun bekerja dengan agensi rakan kongsi SPX, beliau berbangga kerana dapat bekerja dengan syarikat seperti SPX yang menekankan piawaian tinggi untuk para pemandu.

"Keperluan untuk bekerja untuk SPX sangat ketat, jadi berada di sini bermakna saya telah membuktikan kelayakan saya," katanya.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai wanita meneroka kerjaya dalam industri logistik, menekankan bahawa industri ini menawarkan peluang yang menguntungkan bagi mereka yang bersedia melangkah ke hadapan.

"Ada tempat untuk anda di sini—percayalah pada diri sendiri, yakin dan sentiasa terbuka untuk belajar," pesannya.

Komitmen SPX terhadap tenaga kerja inklusif

Dalam sekian ramai wanita seperti Hidayah, Norasmawani, dan Ariesa yang mencorakkan laluan mereka dalam industri logistik, SPX kekal komited untuk membina tempat kerja di mana bakat dan dedikasi menjadi pemacu kejayaan.

Menurut Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun (tengah), wanita di SPX cemerlang dalam peranan kepimpinan, teknikal, dan operasi di mana mereka bekerjasama dengan rakan sekerja untuk memacu inovasi dalam logistik
Menurut Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun (tengah), wanita di SPX cemerlang dalam peranan kepimpinan, teknikal, dan operasi di mana mereka bekerjasama dengan rakan sekerja untuk memacu inovasi dalam logistik

Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun, menekankan bahawa usaha syarikat untuk menggaji, mengekalkan dan mempromosikan wanita bukan hanya kerana perwakilan, tetapi juga mengenai membina tenaga kerja yang lebih kukuh serta dinamik.

"Di SPX, kami percaya dalam memperkasakan individu di setiap peringkat logistik, dari operasi, pematuhan hingga penghantaran barisan hadapan. Kami secara aktif memastikan peluang terbuka kepada semua melalui latihan berstruktur, kemajuan kerjaya, dan persekitaran kerja yang mempunyai sokongan teguh," katanya.

Sejak 2021, SPX telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam penyertaan wanita dalam industri ini, dengan peratusan kurier wanita meningkat lebih dua kali ganda dari tahun lalu kepada 29 peratus, sementara pekerja ‘sorter’ wanita meningkat sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang sama.

Semakin ramai wanita juga menyandang peranan kepimpinan, termasuk sebagai ketua hab, penyelia syif dan pengurus kawasan. SPX mengutamakan kenaikan pangkat dalaman, memastikan setiap pekerja, tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang sama rata untuk berkembang melalui program latihan berstruktur dan inisiatif bimbingan.

Cheah Lee Sun menegaskan bahawa komitmen SPX terhadap kepelbagaian bukan sekadar angka, tetapi untuk mencipta impak yang bermakna.

"Tenaga kerja kami dibina atas asas kemahiran, dedikasi, dan kerjasama. Wanita di SPX cemerlang dalam peranan kepimpinan, teknikal, dan operasi di mana mereka bekerjasama dengan rakan sekerja untuk memacu inovasi dalam industri logistik," katanya.

Dengan membentuk persekitaran di mana setiap individu boleh berkembang, SPX berterusan menetapkan penanda aras baharu untuk keterangkuman, memastikan bakat terbaik terus membentuk masa depan industri logistik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!