MK Land teruskan inisiatif CSR, bantu golongan kurang kemampuan

Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Felina Mustapha Kamal (tengah) bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (kanan) selepas majlis penyerahan sumbangan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Felina Mustapha Kamal (tengah) bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (kanan) selepas majlis penyerahan sumbangan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - MK Land Holding Berhad (MK Land) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya dengan memberi sumbangan berupa wang tunai bagi membantu golongan kurang berkemampuan menerusi program Iftar Ala Madinah@Karangkraf.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Ketua Kumpulan, Komunikasi Korporat MK Land, Shahreen Rahim berkata, perkongsian rezeki itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pihak untuk mendapatkan makanan secara percuma di Iftar Ala Madinah.

Menurutnya, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dan juga pelajar dari segi perbelanjaan berbuka puasa.

Shahreen Rahim.
Shahreen Rahim.

"Sebagai entiti korporat, kami berbesar hati dapat turut sama dengan rakan media membantu menyediakan makanan percuma kepada orang ramai untuk berbuka puasa.

"Ini merupakan penyertaan tahun kedua MK Land sertai majlis Iftar Ala Madinah yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf dan ia sangat dekat dengan kami. Selama kami menjalankan operasi banyak rumah kos rendah dibina untuk beri kembali kepada komuniti.

"Apa yang menarik perhatian kami, konsep yang diketengahkan dalam program Iftar Ala Madinah@Karangkraf. Sangat seronok apabila dapat berbuka puasa beramai-ramai ditempat terbuka sambil bersila menikmati juadah secara percuma," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin memberitahu, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak sangat membantu dari segi penambahan slot untuk orang ramai berbuka puasa secara percuma.

Menurutnya, pelaksanaan program itu sememangnya bertujuan untuk meringankan beban rakyat terutama kepada keluarga dan golongan pelajar.

"Ini kali kedua MK Land memberi sumbangan sebagai sokongan kepada program Iftar Ala Madinah @Karangkraf. Terima kasih diucapkan kepada mereka dan semoga persahabatan ini akan terus terjalin.

"Selain penglibatan dalam menyokong Iftar Ala Madinah, kita akan merangka beberapa program yang menumpukan kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pemerkasaan komuniti. Kita memang lihat MK Land sebagai entiti rakan strategik Karangkraf," ujarnya.

Jelas beliau, Kumpulan Karangkraf dan MK Land memang dua entiti korporat yang dikenali menitikberatkan komuniti dan juga program berbentuk CSR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!