Golongan kurang kemampuan juga berhak dapat pendidikan

Tahun demi tahun, program Ceria Ke Sekolah (CKS) berjaya menyentuh hati ramai dengan memberi bantuan yang sangat diperlukan oleh keluarga yang menghadapi kesukaran kewangan.
Sejak dilaksanakan pada 2013, CKS telah memberi sumbangan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan kepada lebih 79,565 keluarga dari 519 kawasan seluruh negara dengan perbelanjaan sebanyak RM12.7 juta setakat tahun lalu.
Tahun ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membantu anak-anak dari keluarga B40 dan e-Kasih di seluruh negara untuk memulakan sesi persekolahan mereka dengan kelengkapan yang mencukupi.
Program CKS adalah manifestasi keprihatinan TNB terhadap kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan modal insan negara, dengan fokus utama kepada pendidikan anak-anak dari kawasan luar bandar.
Memperkukuh hubungan dengan komuniti
Sejak dilancarkan lebih sedekad lalu, program CKS memberi peluang kepada TNB untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, mendengar keluhan mereka dan membangunkan penyelesaian yang sesuai dengan keperluan dan hasrat setempat.
Dengan memberikan bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan, TNB bukan sahaja memperbaiki taraf pendidikan mereka tetapi juga memperkukuhkan kepercayaan dan hubungan baik dengan masyarakat.
Keadaan ini akan sekali gus meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap projek-projek TNB pada masa hadapan dan membuka ruang bagi penglibatan lebih mendalam dengan komuniti setempat.
Mendukung aspirasi Malaysia Madani Program CKS adalah suatu langkah penting dalam memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi, berpeluang untuk berjaya dan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Melalui CKS, TNB menerapkan nilai-nilai keadilan, kesejahteraan, dan pemberdayaan yang sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani, dengan melibatkan masyarakat untuk sama-sama meningkatkan kesejahteraan hidup khususnya melalui pendidikan.
Komitmen berterusan ini menunjukkan bahawa dengan kerjasama dan keprihatinan, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah, lebih inklusif, dan lebih sejahtera.
100 keluarga terima manfaat
Sementara itu, TNB melalui Program Santuni MADANI: Ceria Ke Sekolah (CKS) 2025 telah menyampaikan bantuan kepada 100 keluarga di Keramat Jaya dan Akademi Tahfiz Al-Hidayah, di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, program itu memberi impak positif kepada pelajar dan ibu bapa yang menghadapi cabaran ekonomi terutamanya menjelang sesi persekolahan baharu serta persediaan untuk bulan Ramadan dan musim perayaan.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan TNB dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memberikan sokongan kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis itu, di Surau Al-Ikhlasiah, Keramat Jaya.
TNB komited dalam pendidikan Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, peranan TNB bukan sahaja sebagai penyedia tenaga, tetapi juga sebagai pemangkin perubahan dalam komuniti, membuka peluang kepada generasi muda untuk memajukan diri mereka dan mencapai impian mereka.
“Bagi TNB, pendidikan adalah asas kepada pembangunan masyarakat. Kami sentiasa komited untuk memastikan setiap anak daripada golongan B40 mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.
“Pendidikan bukan sahaja hak tetapi juga kunci kepada masa depan negara yang cemerlang dan makmur. TNB akan terus menyokong pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan yang memerlukan,” katanya.
Program Ceria Ke Sekolah 2025 adalah sebahagian daripada komitmen TNB dalam memenuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi panduan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.
REAKSI

“Saya berharap dengan adanya sumbangan kelengkapan persekolahan baharu ini akan menyuntik semangat anak-anak tahfiz untuk belajar kerana mereka teruja untuk ke sekolah. Bagi pihak sekolah tahfiz, saya berterima kasih kepada TNB. Semoga TNB terus maju dan membantu mereka yang memerlukan, macam kami.”
Asmah A. Samad, Pengetua (Sekolah Akademi Tahfiz Al- Hidayah) CKS Keramat Jaya

“Bantuan kelengkapan sekolah ini adalah sesuatu yang amat diperlukan dan datang tepat pada masanya. Dengan bantuan ini, dapatlah kami membuat persediaan bagi sesi persekolahan. Saya lihat, apa yang dilakukan TNB dalam Program Ceria ke Sekolah ini membuktikan betapa TNB mengambil berat dengan rakyat dan membantu sebaiknya.”
Nur Saidatul Shahbul Kahfi Bekerja sendiri Setiawangsa

“Terima kasih kepada pihak TNB atas sumbangan ini. Memang sangat membantu kami, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang. Program sebegini amat membantu meringankan beban ramai pihak. Harapan saya, dengan kelengkapan baru ini, anak-anak lebih selesa dan bersemangat untuk belajar.”
Adnan Mohd Ali, penghantar makanan Grab CKS Keramat Jaya

“Sebagai wakil dari pihak sekolah dan ibu bapa, kami ingin mengucapkan terima kasih atas segala usaha TNB dalam merealisasikan impian anak-anak untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Kami sangat menghargai sokongan ini.”
Datuk Muhammad Nazari Osman YDP PIBG SK AU Keramat

“Sekarang hanya isteri yang bekerja di kedai makan dan agak susah bagi kami untuk sediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak. Ribuan terima kasih kepada TNB atas bantuan ini. Mudah-mudahan dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam komuniti.”
Halkin Mohd, Tidak bekerja, CKS Labuan

“Saya sangat bersyukur dengan sumbangan daripada TNB ni. Semoga anak saya dapat belajar dengan baik dan buat keluarga kami bangga. Saya amat berharap sumbangan TNB ini diteruskan untuk bantu keluarga berpendapatan rendah seperti kami.”
Melhelma Matulin, Suri rumah, CKS Labuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
