Pelancong Israel cedera dibelasah pondan di Phuket

Pelancong Israel menerima rawatan awal akibat kecederaan yang dialami dalam pergaduhan dengan sekumpulan wanita transgender di Jalan Bangla, Phuket pada 5 Mac 2025. - Agensi
Pelancong Israel menerima rawatan awal akibat kecederaan yang dialami dalam pergaduhan dengan sekumpulan wanita transgender di Jalan Bangla, Phuket pada 5 Mac 2025. - Agensi
A
A
A

PHUKET – Satu pergaduhan berlaku di kawasan hiburan malam Phuket, mencetuskan kritikan meluas dalam talian selepas rakaman video menunjukkan pelancong asing melarikan diri daripada sekumpulan individu transgender sebelum berlaku pergelutan fizikal.

Leftenan Polis, Pongpipat Khamchoomphoo mengesahkan bahawa insiden itu berlaku pada awal pagi, 5 Mac di Jalan Bangla.

"Konflik bermula apabila sekumpulan empat hingga lima individu transgender berkonfrontasi dengan dua wanita Thailand, Wilaiporn, 21, dan Sunisa, 23, yang dituduh mencuri pelanggan warga Israel mereka.

"Bagaimanapun, ketika dua pelancong Israel, Nathan dan Ofir, cuba campur tangan, mereka turut terlibat dalam pertelingkahan dengan kumpulan transgender tersebut sehingga mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Sebelum itu, rakaman video yang tular menunjukkan kekecohan berlaku apabila pelancong terbabit dikejar oleh kumpulan transgender berkenaan sebelum kedua-dua pihak mengalami kecederaan.

Kumpulan transgender itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Dalam insiden tersebut, pasukan kecemasan memberikan rawatan awal kepada pelancong yang cedera sebelum mereka dihantar ke Hospital Patong untuk rawatan lanjut.

Pihak berkuasa kemudian berjaya mengenal pasti dan memanggil tiga individu transgender iaitu Suwicha, 20, Apisit, 28 dan Siwaphum, 29 untuk menghadapi tuduhan mengganggu ketenteraman awam yang boleh dikenakan denda maksimum 5,000 baht (RM653).

Pelancong yang terlibat turut didakwa atas kesalahan sama. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!