Pasukan keselamatan Pakistan bunuh 16 militan, selamatkan 104 penumpang kereta api

Tentera Pakistan berjaya membebaskan puluhan penumpang kereta api yang dijadikan tebusan oleh militan bersenjata dari Tentera Pembebasan Balochistan (BLA). Foto AFP
Tentera Pakistan berjaya membebaskan puluhan penumpang kereta api yang dijadikan tebusan oleh militan bersenjata dari Tentera Pembebasan Balochistan (BLA). Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 16 pengganas yang menyerang sebuah kereta api yang membawa lebih 400 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan ke Peshawar.

Kereta api Jaffar Express itu diserang ketika melalui sebuah terowong di daerah Bolan pada Selasa petang.

Kumpulan militan terbabit meletupkan landasan kereta api dan mengambil tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kumpulan Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang diharamkan, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, menurut laporan media Pakistan.

Sekurang-kurangnya 104 penumpang, termasuk 31 wanita dan 15 kanak-kanak, berjaya diselamatkan, menurut laporan itu.

Penumpang kereta api yang telah dibebaskan berkumpul di Stesen Kereta Api Mach. Foto AFP
Penumpang kereta api yang telah dibebaskan berkumpul di Stesen Kereta Api Mach. Foto AFP

Seramai 17 orang yang cedera telah dibawa ke hospital.

Para pengganas dilaporkan "berhubung dengan dalang mereka di luar negara melalui telefon satelit," kata satu laporan yang memetik pegawai keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan bagi menyelamatkan baki tebusan yang tidak diketahui jumlahnya.

Mereka beroperasi dalam keadaan yang mencabar dan bertindak dengan berhati-hati kerana pengganas menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia, menurut Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Talal Chaudhry, kepada saluran televisyen Geo News.

Beliau berkata, para penyerang telah membawa ramai tebusan ke kawasan pergunungan terpencil.

"Pasukan keselamatan sedang melaksanakan operasi berskala penuh, dan semua penumpang akan diselamatkan tidak lama lagi," kata Chaudhry. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!