Seluruh England: Zii Jia, Aaron-Wooi Yik tersungkur pusingan pertama

IMPIAN peminat badminton tempatan untuk melihat wakil negara utama mengungguli acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki di Seluruh England musnah dalam sekelip mata pada Rabu.
Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dua sandaran utama negara, ditunjukkan jalan keluar awal setelah mengalami kekalahan mengejut pada pusingan pertama di Utilita Arena, Birmingham.
Zii Jia, yang pernah menjulang trofi berprestij ini pada 2021, gagal meneruskan rentak cemerlangnya.
Pemain ranking ketujuh dunia itu tumbang kepada wakil Hong Kong, Angus Ng dalam pertarungan tiga set 62 minit yang mendebarkan.
Kekalahan 19-21, 21-16, 21-12 ini menamatkan rentetan lima kemenangan Zii Jia ke atas Angus.
Malah lebih malang menandakan prestasi terburuknya dalam enam penampilan di Seluruh England.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 26 tahun itu sebelum ini sentiasa mara sekurang-kurangnya ke suku akhir, malah pernah tiga kali melangkah ke separuh akhir.
Sementara itu, Aaron-Soh Wooi Yik, pasangan beregu lelaki ranking kelima dunia, turut mengalami nasib sama.

Mereka sekali lagi gagal melepasi pusingan pertama, mengulangi kegagalan di Orleans Masters minggu lalu.
Dua kali muncul naib juara Seluruh England, Aaron-Wooi Yik dikejutkan beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Kekalahan 21-16, 16-21, 21-18 dalam masa 64 minit meninggalkan kesan mendalam buat Aaron-Wooi Yik, yang kini bergelut dengan prestasi tidak konsisten.
Malah, kecederaan bahu dialami Aaron dipercayai menjadi faktor mempengaruhi persembahan mereka.
Kesakitan yang dialami Aaron jelas mengganggu rentak permainan mereka, biarpun mendapat kebenaran untuk beraksi di Birmingham.
Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, juga ditunjukkan jalan keluar wakil tuan rumah, Ben Lane-Sean Vendy, dalam perlawanan sengit 18-21, 19-21 dalam masa 45 minit.
Turut sama tersingkir, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada wakil Taiwan, Hen Cheng-kuan-Hsu Yin-hui, 18-21,20- 22 dalam masa 43 minit.
Hari pertama di Birmingham juga menyaksikan hanya satu daripada enam wakil negara layak ke pusingan kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!