Pertimbang untuk luluskan SEGiM - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat HLC SEGiM yang pertama di Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat HLC SEGiM yang pertama di Kuala Lumpur.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri dicadang untuk mempertimbangkan dan

meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SEGiM akan bertindak sebagai badan kawal selia utama bagi memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan dengan memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig serta aspek-aspek yang memerlukan pengawalseliaan.

Menurutnya, SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna serta semua pihak berkepentingan.

"Suruhanjaya itu juga akan memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi (HLC) SEGiM berkata, langkah itu turut menggalakkan piawaian industri yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing bagi menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi digital yang berkembang pesat.

"Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk merangka rang undang-undang (RUU) yang holistik dan inklusif dengan mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh termasuk pemain industri serta jutaan pekerja gig yang bergantung kepada ekonomi digital sebagai sumber pendapatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan mesyuarat turut memperhalusi asas penubuhan SEGiM yang telah disediakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Kementerian Digital.

"Kerajaan juga mengambil maklum syor MDEC agar penggubalan akta tubuh bagi SEGiM dilaksanakan secara bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!