Pesara rugi RM100,000 diperdaya 'pegawai' Bank Negara

KUANTAN – Gara-gara takut dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram, seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM100,000 lesap akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan pihak mahkamah.
Wanita warga emas berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 5 Mac lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Seterusnya, mangsa diarahkan untuk mengisytiharkan wang simpanannya dengan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
"Akibat terperdaya dengan helah tersebut, mangsa telah melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun berbeza antara 7 hingga 9 Mac lalu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta penambahan wang.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

