Tabik semangat juang Mickey

PENGENDALI Selangor FC, Kinoshi Katsuhito, mengakui kagum dengan persembahan cemerlang Faisal Halim yang meledak hatrik ketika menentang Kelantan Darul Naim dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Katsuhito menegaskan, semangat juang dan sikap positif Faisal, baik di sesi latihan mahupun ketika tidak beraksi, menjadi kunci kepada kejayaan bekas pemain Terengganu FC tersebut.
"Beliau sentiasa memberikan 100 peratus dalam latihan. Walaupun tidak beraksi dalam perlawanan, sikapnya sangat fantastik
"Saya sentiasa mengingatkan beliau dan pemain lain yang kurang mendapat peluang beraksi, untuk terus memberikan yang terbaik dalam latihan," kata Katsuhito.
Sebelum itu, hatrik 'siuu' pemain lincah, pemain berusia 27 tahun tersebut yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lalu, mengamatkan 1,293 penonton mengakhiri penantian 447 hari ketika menang ke atas PDRM musim lalu.
Kemenangan ke-14 liga itu membolehkan The Red Giants mengumpul 46 mata menjarakkan diri dari pesaing terdekat Sabah FC, ketiga yang memperoleh 36 mata dengan baki tiga perlawanan.
Sabah sebelum ini sekadar melakar keputusan seri 2-2 ketika mengadakan kunjungan ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, bagi aksi menentang Terengganu FC.
Kemenangan itu juga bermakna Sabah tidak lagi dapat mengejar Selangor, sekaligus mengesahkan tempat The Red Giants dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.
Pada perlawanan itu, Faisal yang diturunkan dalam kesebelasan utama Selangor yang ketuai Safuwan Baharuddin meledak hatrik minit ke-13, m-47 dan m-66.
Baki jaringan dihasilkan Quentin Cheng (m-31), diikuti dua gol Harith Haiqal Adam Afkar (m-54, m-56) sebelum gol minit ke-73 pemain gantian Muhammad Alif Izuan Yuslan melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah.
Tambah Katsuhito, beliau juga percaya, pengorbanan dan kerja keras pasti akan membuahkan hasil seperti dibuktikan Faisal yang lebih dikenali Mickey.
"Sebagai jurulatih, saya sangat gembira melihat pemain seperti ini beraksi, malah perlawanan hari ini sangat menggembirakan.
"Mickey (Faisal) sering berbincang dengan saya. Saya tahu beliau ingin bermain lebih kerap. Tetapi, beliau perlu bersabar menunggu waktu yang tepat untuk bersedia dan bermain lebih baik daripada sebelumnya," ujarnya.
Mengulas lanjut, Katsuhito menitipkan nasihat: "Ini adalah perkara yang baik. Tetapi, beliau perlu mengekalkan prestasi ini, walaupun menentang pasukan yang lebih kuat.
"Ini adalah contoh yang baik untuk pemain muda dan pemain yang kurang mendapat peluang beraksi. Jika anda berlatih dengan baik dan tidak hilang motivasi, momen indah pasti akan tiba."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
