ADUN termuda Perak pimpin Armada Bersatu negeri

IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak akan menumpukan usaha menarik minat golongan muda terhadap Perikatan Nasional (PN) melalui kepimpinan baharu yang dilantik.
Ketua Armada Bersatu Perak, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin berkata, sehubungan itu pihaknya akan memperkenalkan pendekatan lebih segar dan inklusif.
Menurutnya, kepimpinan Armada Perak akan menumpukan kepada pembangunan belia, peluang ekonomi serta pendidikan politik bagi memastikan anak muda lebih celik dalam membuat keputusan.
"Kami mahu memastikan setiap kawasan mempunyai kepimpinan yang aktif dan dinamik bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai perjuangan Armada dan Perikatan Nasional (PN).
"Selain itu, kami juga akan memberi tumpuan kepada program yang dapat membantu belia, terutama dalam aspek ekonomi dan pendidikan politik," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Syed Lukman Hakim mengakui pimpinan Armada Bersatu Perak berdepan cabaran mengekalkan relevansi sayap parti itu dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, landskap politik yang sentiasa berubah menuntut mereka agar lebih fleksibel dalam mendekati golongan belia.
"Selain itu, kami juga berdepan cabaran untuk membina kesatuan dalam kalangan ahli agar pergerakan lebih tersusun dan efektif.
"Pada masa yang sama, kami perlu menepis persepsi negatif terhadap parti serta meyakinkan anak muda bahawa PN adalah platform terbaik untuk masa depan mereka," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh itu.
Wakil rakyat berusia 28 tahun itu berkata, dalam usaha menarik lebih ramai anak muda menyokong PN, pihaknya akan memperbanyakkan program keusahawanan, pendidikan serta kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada golongan itu.
Katanya, platform media sosial akan digunakan secara lebih agresif bagi menyampaikan mesej parti dengan lebih jelas serta menangkis propaganda pihak lawan.
"Kami mahu memastikan suara anak muda didengar dalam setiap dasar yang diperjuangkan oleh PN.
"Oleh itu, kami akan mendekati mereka dengan pendekatan yang lebih relevan dan memanfaatkan teknologi digital untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebagai ADUN termuda di Perak, Syed Lukman Hakim berazam untuk membawa suara anak muda ke peringkat negeri dengan lebih lantang, khususnya dalam isu-isu berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan serta kos sara hidup.
Menurutnya, lebih banyak platform diharap diwujudkan bagi golongan belia berkongsi pandangan dan idea mereka dalam proses membuat keputusan.
Beliau juga optimis bahawa kepimpinan muda dalam PN akan terus berkembang dan bersedia untuk mengangkat lebih ramai calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pada 5 Mac lalu, Syed Lukman Hakim dilantik sebagai Ketua Armada Bersatu Perak dan menerima watikah pelantikan daripada Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

