Lelaki warga Perancis maut terjatuh di Bukit Tabur

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki warga Perancis maut dipercayai terjatuh semasa mendaki puncak Bukit Tabur, Taman Melawati di sini petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 4 petang.

"Seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Ampang serta Wangsa pergi ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa bagaimanapun dijumpai pada jam 6.45 petang.

"Pasukan yang terlibat berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mayat dari lokasi kejadian kerana keadaan laluan curam dan gelap, namun kita berjaya membawa mayat turun dan diserahkan kepada polis pada jam 10.35 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 29 tahun mengalami pendarahan teruk di kepala.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama teman wanitanya menaiki Grab ke Bukit Tabur pada jam 1.30 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mula mendaki bukit itu pada jam 2.30 petang. Teman wanitanya menghubungi pihak berkuasa memaklumkan mangsa telah tergelincir lalu terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Noor Azmi berkata, tiada sebarang kesan atau unsur jenayah yang ditemui di tempat kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.