Dua warga Nepal maut keluar simpang secara tiba-tiba

BERA -Tindakan keluar simpang secara mengejut menyebabkan dua lelaki dipercayai warga Nepal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 5, Jalan Bera- Mayam di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kedua-dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal jenis Demak Spark 110 meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
"Siasatan awal mendapati, sebuah pacuan empat roda jenis Triton VGT dan kereta jenis Proton Satria Neo dalam perjalanan dari arah Mayam menghala ke Bera.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri jalan dan telah bergesel dengan Triton seterusnya dilanggar oleh Satria Neo yang berada di belakang pacuan empat roda terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, akibat kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng mengalami parah di kepala dan patah kaki menyebabkan maut di tempat kejadian.
"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Bera untuk bedah siasat.
"Pemandu Triton iaitu lelaki berusia 27 tahun dan pemandu Satria, lelaki berusia 41 tahun tidak mengalami kecederaan," jelasnya.
Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

