Beri peluang muka baharu bertanding jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan

SHAH ALAM - Lim Guan Eng perlu memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu tidak lama lagi bagi meredakan ketegangan.
Veteran DAP, Charles Santiago berkata, tindak tanduk Ahli Parlimen Bagan itu sejak kebelakangan ini yang bertentangan dengan pendirian parti mencetuskan pelbagai masalah dalaman.
Menurutnya, disebabkan pelbagai kenyataan kontroversi yang dibuat Guan Eng turut menimbulkan persoalan sama ada beliau masih sesuai atau sebaliknya untuk mempertahankan jawatan tersebut.
“Secara asasnya mana-mana sistem demokrasi yang diamalkan memberi tanggungjawab kepada perwakilan untuk menentukan arah masa depan sesebuah parti politik dalam memilih pemimpin mereka. Itu syaratnya. Tetapi disebabkan ada banyak persoalan terhadap Guan Eng membuatkan ramai yang marah dengan beliau.
“Malah, tindakan beliau yang ada kalanya berlebihan melampaui Setiausaha Agung turut mencetuskan kemarahan ramai. Disebabkan itu, ada desakan daripada akar umbi dan juga beberapa pihak lain mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk DAP pilih orang lain sebagai pengerusi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi pemilihan CEC DAP yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ia susulan wujud dakwaan mengatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertemu Guan Eng dalam usaha untuk menghalangnya daripada bertanding semula, bertujuan untuk meredakan ketegangan dalam parti.
Anthony juga didakwa cuba memujuk bekas Menteri Kewangan itu agar tidak bertanding jawatan pengerusi parti sambil kekal sebagai ahli CEC.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berpandangan, keputusan sama ada Guan Eng bertanding atau tidak untuk mempertahankan jawatan pengerusi parti dalam pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi hanya boleh ditentukan oleh beliau sendiri.
Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Bagan itu perlu menilai penerimaan akar umbi parti terhadapnya berikutan perubahan parti termasuk sokongan diterima.
“Kita beri ruang untuk beliau bertanding dan yang akan membuat keputusan itu akhirnya di tangan perwakilan,” katanya.
Beliau dalam masa sama menegaskan, pimpinan juga perlu bijak untuk menangani masalah dalaman parti agar ia dapat diselesaikan dengan baik.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Dr James Chin berpandangan, Guan Eng dijangka tidak menurut permintaan supaya beliau tidak bertanding bagi mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Ujarnya, Guan Eng akan meneruskan hasrat untuk bertanding kerana berkemungkinan mengambil kira pelbagai aspek termasuk menjaga reputasi keluarganya dalam parti itu.
“Sejujurnya saya melihat adalah tidak adil untuk mengharapkan beliau tidak bertanding. Malah, konsep sesebuah pertandingan seharusnya begitu yang mana ia perlu melalui proses yang adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

