Perubahan tempat program bersama TPM tidak wajar berlaku - Khairuddin

Laporan Sinar Harian mengenai program Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW bersama FELCRA yang dijadual diadakan di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob pada Sabtu terpaksa dipindahkan. Gambar kecil: Khairuddin
Laporan Sinar Harian mengenai program Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW bersama FELCRA yang dijadual diadakan di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob pada Sabtu terpaksa dipindahkan. Gambar kecil: Khairuddin
A
A
A

KUALA NERUS - Perubahan tempat saat akhir sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran FELCRA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dijadualkan berlangsung hari ini tidak wajar berlaku.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program berbuka puasa dan solat tarawih itu bertujuan mendekatkan dan menyatukan pemimpin bersama masyarakat dan tidak bermotifkan politik.

"Ramadan adalah bulan untuk menyatukan semua yang berbeza. Kalau ada perkara yang tidak kita setuju, ini masanya untuk berunding secara baik.

"Namun, apa yang terjadi pada program ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar sama sekali dan tidak sepatutnya berlaku pada bulan mulia ini," katanya dalam nada kesal.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Dalam pada itu, jelas Khairuddin, pelaksanaan program Santunan Kasih Ramadan oleh Pejabat TPM melalui agensi Kerajaan Persekutuan itu sebelum ini tidak melibatkan sebarang isu berbangkit.

"Ia merupakan acara tahunan sepanjang Ramadan malah pada tahun-tahun sudah ia diadakan hampir di semua negeri termasuk Terengganu tanpa sebarang isu.

"Program ini adalah untuk rakyat. Mengenai hal jemputan dalaman (melibatkan parti politik) yang menjadi isu itu adalah hal lain kerana kita jemput semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, program melibatkan rakyat itu akan tetap diteruskan pada Sabtu dan segala urusan pentadbiran diserahkan kepada pihak berkaitan.

"Sepanjang Ramadan kali ini, TPM akan turun ke lima negeri termasuk Melaka, Perlis dan Terengganu bagi mendekati masyarakat," tambahnya.

Majlis Santunan Kasih Ramadan yang dijadualkan dihadiri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu hangat diperkatakan susulan penularan video menunjukkan beberapa pihak kesal kerana terpaksa mengalih semula khemah dan kanopi yang telah siap dipasang di pekarangan masjid ke kawasan lain.

Tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan penolakan permohonan penggunaan pekarangan masjid oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

JHEAT dalam surat rasmi bertarikh 7 Mac 2025 memaklumkan permohonan itu melibatkan Masjid Kampung Kuala Akob dan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Telemong.

Bagaimanapun, Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, program tersebut tetap berlangsung dan akan dipindahkan ke tanah lapang bersebelahan masjid itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!