Pengalaman berguna buat Malaysian Tigress

PASUKAN hoki wanita negara meraih pengalaman 'mahal' dalam empat aksi persahabatan menentang skuad Olimpik, Afrika Selatan di Bukit Jalil minggu ini.
Ketua jurulatihnya, Nasihin Nubli menyifatkan perlawanan tersebut sebagai medan berharga buat anak buahnya mempelajari banyak perkara penting biarpun tidak mencatat keputusan memberangsangkan.
Malah beliau mengakui menentang pasukan nombor 21 dunia yang cukup berpengalaman di pentas tertingggi memberi pendedahan berkualiti kepada pemain daripada aspek ketahanan fizikal, ketajaman di depan gawang dan disiplin bertahan.
“Afrika Selatan merupakan pasukan yang kuat. Mereka kerap bersaing di pentas antarabangsa termasuk Sukan Olimpik dan Piala Dunia.
“Ini adalah peluang yang amat baik untuk kami mendapatkan perlawanan berkualiti pada awal musim 2025,” katanya.
Biarpun tumpas dalam tiga perlawanan awal, Malaysian Tigress berjaya menutup siri persahabatan itu dengan kemenangan tipis 2-1 pada Selasa lalu hasil jaringan padang Fatin Shafika Mahd. Sukri dan Azmyra Mia Sofea Azhairy.
Nasihin turut melihat siri perlawanan itu sebagai persiapan penting memandangkan kalendar antarabangsa tahun ini cukup padat termasuk cabaran besar di Piala Dunia Remaja dan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
"Pendedahan awal menentang pasukan berkelas dunia memberi gambaran jelas mengenai aspek yang perlu diperbaiki menjelang dua kejohanan penting tersebut," katanya.
Beliau juga menyifatkan peluang beraksi pada bulan Ramadan bukan alasan untuk pemain tampil lesu, apatah lagi mereka dibantu secara langsung oleh pakar pemakanan sukan Institut Sukan Negara (ISN).
Tambahnya, ia melibatkan khidmat serta panduan mengenai pemakanan dan penghidratan sepanjang tempoh latihan serta perlawanan.
“Ramai antara pemain kita pernah bermain dalam bulan puasa, jadi bukan isu besar. Tambahan pula, aksi berlangsung pada jam 9.30 malam, dua jam selepas berbuka. Jadi pemain dapat menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
