Lelaki hina Islam dipercayai berada di luar negara

KUALA LUMPUR - Lelaki yang tular menerusi rakaman video dengan kenyataan disyaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah dipercayai berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan awal mendapati individu terbabit kini berada di luar negara.
"Polis sedang mengenal pasti lokasi individu terbabit dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
“Berdasarkan laporan, video berkenaan telah dimuat naik pada 5 Mac (Rabu) sebelum dipercayai dipadam selepas menerima kecaman orang ramai," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Media tempatan pada Khamis melaporkan bahawa pihak polis sedang memburu pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ berhubung kandungan video berdurasi lebih tiga minit itu.
Sebelum itu, Balai Polis Manchis, Pahang, menerima laporan daripada seorang individu berusia 32 tahun mengenai video terbabit yang mengandungi penghinaan terhadap penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.
Terdahulu, Razarudin turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan isu sensitif yang menyentuh perkara Agama, Bangsa, dan Raja (3R).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
