Ganggu ucapan Trump, Ahli Dewan Perwakilan AS diarah keluar dari Capitol

WASHINGTON - Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Al Green diarah keluar dari Bangunan Capitol pada Selasa selepas mengganggu ucapan Presiden Donald Trump pada sesi bersama Kongres.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa Green, anggota Parti Demokrat dari Texas diarah keluar dari dewan selepas menerima amaran daripada Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson.
Trump mendapat sorakan bantahan daripada beberapa penggubal undang-undang manakala yang lain melaungkan "U-S-A!”.
Johnson turut mengarahkan Green duduk sebelum mengarahkan anggota Parti Demokrat itu keluar dewan.
Green berkata beliau menjerit kepada Trump, memberitahu presiden bahawa beliau "tidak mempunyai mandat" untuk memotong Medicaid.
"Belanjawan beliau mencadangkan pemotongan besar dalam Medicaid. Beliau perlu menyelamatkan Medicaid," katanya kepada pemberita.
Green berkata bahawa beliau tidak pasti sama ada akan dikenakan sebarang hukuman rasmi atas bantahannya di dalam dewan. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
