Kematian warga emas dengan kesan terbakar akibat hentakan objek, sedutan asap

Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita ditemukan maut dengan kesan terbakar, dipercayai dibunuh anak lelakinya.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita ditemukan maut dengan kesan terbakar, dipercayai dibunuh anak lelakinya.
A
A
A

ALOR SETAR - Punca kematian wanita warga emas yang ditemukan dengan kesan terbakar disyaki dibunuh anaknya pada Ahad lepas, disebabkan oleh hentakan objek tumpul di kepala serta sedutan asap kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, punca kematian itu diperoleh hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

"Polis telah merampas satu tukul besi serta sehelai kain pelikat. Jenis bahan bakar yang digunakan pula hanya dapat dipastikan setelah laporan kriminalistik diperoleh daripada Jabatan Kimia.

"Sampel dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan toksikologi manakala barang kes pula dihantar ke Jabatan Kimia Kedah untuk kriminalistik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan seorang wanita berusia 68 tahun ditemukan maut dengan kesan terbakar, dipercayai dibunuh anak lelakinya berusia 43 tahun yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental, selepas mereka bertengkar.

Lelaki itu telah direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!