Warga emas lakukan aktiviti 'hiking' ditemukan meninggal dunia

TAWAU - Seorang warga emas yang melakukan aktiviti 'hiking' ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di kawasan pusat riadah di sini pada Isnin.
Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring pada jam 8 malam ketika pencarian dilakukan oleh orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Tawau dan sebaik tiba, pasukan bomba berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer dari jalan utama untuk mengeluarkan mangsa dari tempat tersebut.
"Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan masuk ke kawasan hutan berseorangan pada jam 4.30 petang namun disedari hilang sekitar jam 6 petang.
"Gerakan mencari mangsa dijalankan oleh sekumpulan orang awam pada jam 7 malam dan mangsa ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tepi laluan pejalan kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dengan dibantu oleh orang awam untuk ke jalan utama.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.48 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan tersebut selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
