4 sekeluarga meninggal selepas pengebumian ayah

SHANXI - Empat sekeluarga meninggal dunia dalam tidur selepas menguruskan pengebumian ayah mereka yang berusia 90 tahun di Wilayah Shanxi, China.
Memetik media China, Jimu News, laporan bedah siasat menunjukkan bahawa empat ahli keluarga itu adalah tiga anak lelaki dan seorang menantu.
Selepas pengebumian pagi, mereka berempat bermalam di sebuah rumah dan malangnya keempat-empatnya mati dalam tidur masing-masing.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kesemua mereka dipercayai meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.
“Pihak berkuasa tempatan sedang mengendalikan kes itu dan menjalankan pemeriksaan keselamatan yang berkaitan,” katanya kepada media tersebut pada 25 Februari lalu.
Beberapa netizen membuat spekulasi bahawa rumah berkenaan telah lama terbiar dan keempat-empat mangsa menggunakan dapur untuk memanaskan bilik tanpa pengudaraan biasa.
Perkara tersebut kemudiannya menyebabkan pengumpulan asap dan karbon monoksida yang membawa kepada kematian beramai-ramai itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
