Dua lelaki bersenjata api rompak kedai emas, seorang lagi tunggu dalam kereta

NILAI - Sebuah kedai emas di dalam pasar raya dekat Bandar Baru Nilai, di sini, dirompak tiga lelaki bertopeng dan menggunakan senjata api pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada jam 8.45 malam oleh seorang individu melalui panggilan MERS 999.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah ditugaskan ke lokasi dan siasatan awal mendapati kejadian rompakan berkumpulan berlaku pada jam 8.36 malam.
"Suspek disyaki seramai tiga orang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan yang mana dua suspek masuk ke dalam premis manakala seorang lagi menunggu dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, seorang suspek dipercayai menggunakan senjata api semasa kejadian, siasatan juga mendapati tiada kecederaan dan jumlah kerugian masih dalam penilaian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 30 saat mengenai rompakan tersebut yang didakwa berlaku di sebuah kedai emas dalam pasar raya.
Video berkenaan turut memaparkan dua suspek memakai topeng muka selain beberapa pekerja wanita dalam keadaan cemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
