Monyet 'curi' telefon, sempat rakam swafoto

PHUKET – Seorang pelancong Perancis menerima ‘kejutan budaya’ yang tidak disangka apabila seekor monyet di Phuket, Thailand bukan sahaja merampas telefon bimbitnya, malah sempat merakam video swafoto dirinya.
Momen lucu itu dikongsi oleh pengguna TikTok @justinefortemps pada 28 Februari dengan kapsyen 'Monkey Hill Attack'.
Dalam video tersebut, seekor monyet kelihatan memegang telefon berwarna biru terang sambil memandang pemiliknya sebelum melarikan diri ke atas pokok.
Pelancong wanita berbaju merah jambu itu jelas risau kehilangan telefonnya, tetapi tidak dapat menahan ketawa melihat gelagat ‘si pencuri kecil’ itu.
Lebih menghiburkan, video itu turut memaparkan rakaman selfie yang diambil oleh monyet berkenaan. Ia bukan sahaja merakam wajahnya sendiri, malah sempat merakam kawasan persekitaran sebelum telefon berjaya dikembalikan dengan bantuan tiga lelaki tempatan.
Namun, kisah tidak berakhir di situ. Di penghujung video, pelancong Perancis itu duduk di tepi jalan sambil ketawa apabila tiba-tiba seekor monyet lain menarik rambutnya dari belakang.
Nasibnya baik apabila seorang lelaki berbaju merah segera campur tangan untuk menghalau monyet itu sebelum ia bertindak lebih agresif.
Lebih menggelikan hati, pelancong Perancis itu menjadikan selfie monyet berkenaan sebagai gambar profilnya di TikTok.
Menurut portal Kapook, kejadian ini berlaku di Khao Toh Sae, sebuah pusat tarikan pelancongan terkenal di Phuket yang bukan sahaja menawarkan pemandangan matahari terbenam yang cantik, tetapi juga ‘hiburan percuma’ daripada monyet-monyet nakal.
Sebelum ini pelancong Sweden yang digigit monyet ketika melawat kuil terkenal Phra Prang Sam Yot di Lop Buri pada Januari lalu. Lelaki itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera dan suntikan vaksin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
