PKR disaran beri peluang kepada pemimpin baharu

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) disarankan supaya memberikan ruang kepada pemimpin baharu dalam kepimpinan parti bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti itu terus kukuh.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Yuneswaran berkata, pemimpin dalam kalangan golongan profesional, teknokrat, akademik serta mahasiswa wajar diketengahkan bagi membawa pembaharuan dalam parti.
“Kita menggalakkan lebih ramai muka baharu bertanding dalam pemilihan parti kali ini. Perubahan perlu dilakukan bagi memastikan kepimpinan lebih dinamik dengan visi serta misi yang segar.
“Pemegang jawatan utama dalam parti perlu aktif menggerakkan organisasi, bukan sekadar memegang jawatan dalam kerajaan semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas mengenai kepimpinan Top 6 dalam PKR, Yuneswaran menegaskan bahawa meskipun mereka memegang jawatan dalam kerajaan, mereka tetap perlu memperkasakan parti.
“Kalau tanya soal KPI (petunjuk prestasi utama) kementerian, itu terletak pada penilaian rakyat. Tetapi dari sudut penggerakan parti, saya lihat masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyatakan sokongan terhadap cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini bagi mengelakkan perpecahan dalaman.
“Ini juga sebahagian daripada proses demokrasi di mana anggota parti diberi kebebasan untuk bersetuju atau tidak dengan cadangan ini.
“Apa yang penting, keputusan dibuat secara konsensus demi kepentingan parti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Segamat itu juga berpendapat bahawa kedudukan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika ini tidak tergugat kerana tiada calon heavyweight yang dilihat mampu memberikan saingan.
“Setakat ini, Naib Presiden, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah menyatakan hasrat mempertahankan jawatannya Nampaknya, tiada calon berpotensi untuk cabar jawatan Timbalan Presiden,” ujarnya.
Mesyuarat pemilihan cabang PKR bagi tahun 2025 akan bermula dengan proses penamaan calon akan berlangsung pada 14 hingga 16 Mac ini.
Pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April 2025.
Bagi peringkat pusat, pencalonan untuk jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita Pusat dan AMK Pusat pula akan diadakan pada 3 dan 4 Mei 2025, manakala pemilihan bagi jawatan-jawatan itu dijadualkan pada 24 Mei 2025.
Difahamkan pemilihan PKR kali ini dijangka menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan parti dengan kehadiran lebih ramai pemimpin baharu yang berpotensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

