Ramadan bulan berpuasa daripada fitnah - Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak digesa untuk berpuasa daripada fitnah politik, fitnah perkauman dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian serta permusuhan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga mendidik umat Islam menghayati makna hidup yang mulia serta berakhlak terpuji.

“Di Malaysia, politik sering digegarkan dengan ‘isu-isu panas’ yang lebih kepada fitnah dan taktik licik.

“Sempena Ramadan ini, semua pihak perlu mengambil kesempatan untuk berpuasa daripada fitnah politik, perkauman dan agama yang hanya menyemarakkan kebencian serta perpecahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, umat Islam juga perlu menjaga lisan daripada menabur fitnah serta mengawal hati daripada perasaan dendam dan kebencian sesama manusia.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, majlis berbuka puasa seharusnya dijadikan sebagai platform memperkukuh silaturrahim dengan mengamalkan sikap Rahmah yang melangkaui perbezaan politik dan kelompok.

“Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi bertujuan membebaskan diri daripada akhlak keji menuju akhlak yang terpuji.

“Jika tidak, apa yang diperoleh daripada ibadah puasa hanyalah sekadar rasa lapar dan dahaga tanpa manfaat yang lebih besar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!