Jangan cetus provokasi

Razarudin (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Perak antara Mazlan (kiri) dan Boon Keng di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.
Razarudin (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Perak antara Mazlan (kiri) dan Boon Keng di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis Perak menasihatkan semua pihak termasuk parti politik untuk tidak mencetuskan sebarang bentuk provokasi sepanjang tempoh perubahan politik negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, keadaan itu dibimbangi boleh menimbulkan rasa khuatir kepada masyarakat terhadap keselamatan negeri.

"Melihat keadaan politik negara dan negeri, saya menasihatkan semua pihak terutama parti-parti politik untuk menentukan proses demokrasi supaya berjalan dengan lebih baik.

"Jangan ada provokasi-provokasi yang membuatkan masyarakat khuatir akan keselamatan negeri ini," katanya selepas menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Perak antara Datuk Mazlan Santarai dan Datuk Goh Boon Keng di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.

Menurutnya, polis sentiasa bersiap siaga untuk berhadapan dengan apa jua situasi yang akan berlaku.

"Sebelum ini pun kita telah bersedia bukan saja dalam keadaan begini, kita telah mengadakan pelbagai latihan seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP).

"Bagaimanapun kita masih menunggu keadaan politik di pusat dan negeri. Sekali lagi pesanan saya, tiada provokasi bagi menentukan Perak sentiasa dalam keadaan aman," katanya.

Pada majlis itu, Bekas Ketua Perhubungan Antarabangsa Urusetia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) Bukit Aman, Boon Keng dilantik Timbalan Ketua Polis Perak baharu berkuatkuasa hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang berasal dari Melaka menerima tugas yang dipangku oleh Ketua Cawangan Khas Perak, Mazlan selepas Datuk Lim Hong Shuan bersara wajib pada 13 Januari lalu.

Beliau yang berusia 60 tahun telah berkhidmat selama 33 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 5 April 1987.

Katanya, beliau akan memfokuskan pengurusan dan kebajikan warga PDRM Perak selain meningkatkan jalinan hubungan antara polis dan masyarakat.

"Fokus saya lebih membawa misi dan visi Ketua Polis Negara dalam menjalankan segala amanah dan tugas.

"Banyak aspek lain perlu diberi perhatian terutama menjalin hubungan dengan masyarakat selari dengan tema polis 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'," katanya.