Skandal beras: Serah pada Jawatankuasa Fatwa bagi kadar zakat fitrah

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk penetapan semula kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras yang dimakan umat Islam susulan pembongkaran wujudnya skandal beras campur diserahkan kepada kebijaksanaan Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam setiap negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan ketika ini adalah berdasarkan keputusan fatwa terdahulu dan sebarang perubahan akan dipertimbangkan jika perlu.
"Penetapan kadar fitrah dibuat berdasarkan harga beras pada waktu fatwa itu dikeluarkan. Jika ada keperluan untuk kaji semula, perkara ini akan dibawa ke perbincangan Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
"Sekiranya perkara ini telah terbukti, ia boleh dikaji dan dipertimbangkan semula namun bukan dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus pada Khamis.
Pada Rabu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Ia sekali gus menokhtahkan spekulasi bahawa BPT telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Sementara itu, Mohd Na’im menegaskan, kadar zakat fitrah kekal dan tiada perubahan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Ini bermakna, ketika fatwa dikeluarkan, kadar zakat fitrah sebanyak RM7, RM15, dan RM22 telah ditetapkan berdasarkan gred beras yang digunakan pada waktu itu,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
