Kerajaan dengar keluhan pesawah isu benih padi, baja

JERLUN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarahkan untuk berbincang bersama pihak berkaitan termasuk para pesawah, bagi mencari jalan penyelesaian isu benih padi dan baja di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengabaikan suara golongan itu berhubung dua isu tersebut yang dikatakan memberi kesan kepada hasil pengeluaran padi.
Menurutnya, kaedah dan penyelesaian terbaik perlu dicari bagi membantu golongan pesawah yang telah sekian lama terbeban dengan masalah berkenaan.
"Ada orang yang mencadangkan benih padi yang digunakan di Sekinchan tetapi kajian dijalankan menyatakan, benih itu tidak sesuai untuk tanah di Kedah.
"(Perkara sama berlaku) di Vietnam pun, benih digunakan di selatan negara itu tidak sama dengan benih ditanam di kawasan utara.Jadi saya minta kementerian untuk bincang dan dengar rungutan pesawah ini untuk kenal pasti benih yang sesuai dengan tanah di kawasan mereka," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika berucap meluncurkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, di sini.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminam Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mengulas berkenaan dengan isu baja pula, Anwar berkata, sistem pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) juga perlu diperbaiki seiring dengan usaha untuk membantu pesawah.
Jelasnya, cara kerja yang baik juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan bidang pertanian dapat diuruskan sebaik mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

