[VIDEO] Johor benar imam luar solat tarawih, perlu dapatkan tauliah JAINJ

A
A
A

KULAI – [DIKEMAS KINI] Masjid dan surau di negeri dibenarkan menggunakan khidmat imam luar negara untuk solat tarawih sepanjang Ramadan, namun mereka perlu mendapatkan tauliah khas daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kebenaran hanya akan diberikan kepada masjid dan surau yang telah membuat permohonan dalam tempoh enam bulan.

Beliau menambah, syarat tauliah khas ini juga terpakai kepada pelajar tahfiz sebagai imam solat tarawih.

Mohd Fared
Mohd Fared

"Johor tidak melarang imam 'luar' atau pelajar tahfiz, tetapi masjid atau surau hendaklah terlebih dahulu mendapatkan tauliah dengan membuat permohonan kepada JAINJ dalam tempoh enam bulan sebelum Ramadan, seperti yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, jika masjid atau surau baharu nak hantar permohonan tauliah imam warga asing atau pelajar tahfiz untuk Ramadan tahun ini yang akan disambut beberapa hari lagi, kita tak dapat berikan tauliah dalam masa suntuk.

"Ini kerana JAINJ perlu membuat tapisan rapi latar belakang imam warga asing atau pelajar tahfiz yang mahu digunakan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan termasuk keselamatan dan sebagainya, selain mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) 2024 di Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai, di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Masjid dan surau di negeri dibenarkan menggunakan khidmat imam luar negara untuk solat tarawih sepanjang Ramadan, namun mereka perlu mendapatkan tauliah khas daripada JAINJ. Foto hiasan
Masjid dan surau di negeri dibenarkan menggunakan khidmat imam luar negara untuk solat tarawih sepanjang Ramadan, namun mereka perlu mendapatkan tauliah khas daripada JAINJ. Foto hiasan

Sementara itu, beberapa negeri dilaporkan mengambil pendekatan berbeza dalam isu ini, di Terengganu pada Ahad telah melarang penggunaan imam import untuk solat tarawih di masjid dan surau, manakala Selangor mengekalkan keutamaan kepada imam tempatan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, dilaporkan berkata, pengurusan masjid dan surau digalakkan menggunakan khidmat kalangan pelajar tahfiz tempatan bagi mengimamkan solat tarawih.

Langkah itu turut diikuti Selangor yang dilaporkan kekal memberi keutamaan kepada imam tempatan bagi pelaksanaan solat jemaah dan tarawih di semua surau dan masjid di negeri berkenaan sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun, Pahang pada Rabu dilaporkan tidak melarang penggunaan khidmat imam warga asing untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini, namun perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Namun ada syarat yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan permohonan secara bertulis melalui pejabat agama di daerah-daerah untuk mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!