RM35 juta untuk sokong ekosistem wakaf

PUTRAJAYA - Kerajaan memperuntukkan RM35 juta untuk menyokong ekosistem wakaf negara menerusi program biasiswa dan modal awal pembentukan entiti permodalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi RM30 juta untuk program biasiswa wakaf pendidikan dan RM5 juta sebagai modal awal pembentukan Permodalan Waqaf Nasional Berhad (PWNB).
Menurutnya, program biasiswa pendidikan itu dikenali sebagai MyWakaf PTPTN diuruskan bersama Yayasan Wakaf Malaysia dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN).
"MyWakaf PTPTN bertujuan membantu mahasiswa dari kalangan asnaf, M40 dan B40 manakala PWNB pula khusus bagi membantu pembangunan kewangan sosial Islam (waqaf, baitulmal, zakat)," katanya dalam ucapan perasmian Bulan Wakaf Kebangsaan di sini pada Khamis.
Ujar beliau, kerajaan juga tidak akan mengenepikan tanggungjawabnya untuk menggunakan dana dengan bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kuasa atau menggunakan kedudukan untuk memperkayakan diri.
“Ratusan juta di sana, ratusan juta ringgit di sini. Jadi kalau tanya saya, maka saya harap dalam beberapa tahun kita dapat hentikan gelagat ini.
“Seluruh jentera kerajaan, majlis-majlis agama atau pendakwah memberikan kesedaran bahawa dalam Islam ini bukan sekadar kamu harus ‘menyakau’ harta, tetapi harta yang kamu ada itu harus kamu mampu mewakafkan,” jelas Anwar.
Menurutnya, golongan berpendapatan rendah tidak mungkin diharapkan untuk menyumbang kepada wakaf sebaliknya membiarkan orang kaya berbilion ringgit harta terus dibiarkan mengaut kekayaan.
“Bagaimana mungkin dalam sistem pengurusan negara dan tatakelola kita mohon orang yang gajinya RM3,000 minta didermakan RM100 atau wakaf RM100.
"Dan orang yang kaya mencuri ratusan juta ringgit pula dibiarkan sahaja perkara itu," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

