Lelaki bunuh wanita, samun barang kemas palsu

Kawasan sawah padi lokasi Noi ditemui selepas dibunuh lelaki yang merompak barang kemasnya. FOTO Agensi.
Kawasan sawah padi lokasi Noi ditemui selepas dibunuh lelaki yang merompak barang kemasnya. FOTO Agensi.
A
A
A

BANGKOK – Seorang lelaki Thailand ditahan selepas disyaki membunuh seorang wanita sebelum membuang mayatnya di kawasan sawah padi di Nakhon Pathom.

Lebih malang, suspek turut mencuri barang kemas dipakai mangsa, namun barangan itu disahkan sebagai tiruan.

Menurut portal Thaiger, seorang nelayan menemui mayat wanita berusia 63 tahun itu kira-kira jam 10 malam pada 24 Februari lalu.

Mangsa, dikenali sebagai Noi, dipercayai maut akibat dijerut menggunakan tali pinggang merah.

Ketika kejadian, dia memakai seluar pendek denim, kemeja putih berlengan panjang serta sepasang anting-anting emas.

Nelayan yang menemui mayat itu memaklumkan dia melihat sebuah teksi berulang-alik di lokasi kejadian, menimbulkan kecurigaan bahawa pemandu kenderaan itu mungkin terlibat.

Namun, siasatan polis terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menemui kelibat teksi yang dimaksudkan. Sebaliknya, rakaman menunjukkan mangsa membonceng sebuah motosikal bersama seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Pairat, 59.

Hasil risikan, polis menjejaki Pairat dan menahannya di sebuah kedai emas tempatan ketika dia cuba menjual barang kemas mangsa.

Bagaimanapun, pemilik kedai mengesahkan barang kemas itu hanyalah tiruan dan tidak boleh dijual.

Artikel Berkaitan:

Melihat tingkah laku mencurigakan suspek, polis bertindak menahannya di kediamannya pada 25 Februari.

Hasil soal siasat, Pairat mengaku membunuh Noi kerana ingin mendapatkan barang berharganya.

Menurutnya, Noi merupakan rakan kepada isterinya dan pernah meminta bantuan mereka untuk mencari teman lelaki.

Suspek kemudian memperdaya wanita itu dengan alasan ingin memperkenalkannya kepada seseorang sebelum cuba merampas barang kemasnya.

Namun, apabila mangsa enggan menyerahkan barang berharga, dia mencekiknya sehingga mati sebelum melarikan dua cincin emas serta seutas rantai emas yang akhirnya disedari hanyalah tiruan.

Pairat menegaskan dia bertindak sendirian tanpa penglibatan isterinya.

Bagaimanapun, polis tetap memanggil isteri suspek untuk siasatan lanjut. Laporan Saluran 7 turut mendedahkan bahawa Pairat pernah dua kali ditahan sebelum ini atas kesalahan mencuri di kawasan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!