'Kalau ada keperluan tubuh jawatankuasa, saya sedia bantu' - Syed Saddiq

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kesediaan beliau untuk memberi sebarang bantuan susulan penubuhan jawatankuasa bagi membincangkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Syed Saddiq berkata, ia bagi memastikan rakyat di kawasan beliau akan mendapat manfaat kebajikan dan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.
“Kalau ada keperluan untuk mewujudkan satu jawatankuasa, saya sedia memberikan apa jenis kolaborasi dan bantuan.
“Sebelum ini pun, kita dengar bahawa kerajaan menetapkan beberapa syarat seperti pengisytiharan aset, saya setuju.
“Ada banyak cadangan lain, saya tidak ada masalah dan bersetuju selagi ia selaras dengan prinsip demokrasi serta tidak bertentangan dengan Perlembagaan, pada masa sama menjamin kebajikan rakyat di kawasan saya,” katanya ketika ditemui selepas program Wacana Sinar edisi 474 bertajuk ‘Betulkah Akta PSB Hendak Pinggirkan Rakyat?’ pada Selasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi meneliti pandangan dan mencari penyelesaian berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, penubuhan jawatankuasa itu perlu bagi meneliti sebarang cadangan daripada pembangkang bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih konsensus dan menyeluruh.
Beliau berkata, setakat ini, hanya Syed Saddiq yang datang bertemunya untuk berunding dalam isu berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!