Petani miliki 16 isteri, 104 anak dan 144 cucu

Kapinga ditemani isteri-isteri dan anak-anak di rumah mereka terletak di perkampungan kecil di Tanzania. Foto Agensi
Kapinga ditemani isteri-isteri dan anak-anak di rumah mereka terletak di perkampungan kecil di Tanzania. Foto Agensi
A
A
A

NJOMBE - Seorang petani dari sebuah perkampungan kecil di Tanzania menjadi perhatian ramai kerana memiliki keluarga luar biasa besar yang terdiri daripada 16 isteri, 104 anak dan 144 cucu.

Mzee Ernesto Muinuchi Kapinga, 83, mula membina keluarga besar itu selepas diminta bapanya yang mahu memperluaskan keturunan mereka.

Dia berkahwin dengan isteri pertamanya pada tahun 1961, dan setahun kemudian menimang cahaya mata pertama.

Namun, bapanya berpendapat satu isteri tidak mencukupi dan menawarkan untuk membayar mas kahwin bagi lima lagi isteri.

“Puak kita kecil, saya mahu kamu membesarkannya,” pesan bapanya.

Sejak itu, Kapinga terus menambah isteri sehingga pernah memiliki 20 isteri pada satu ketika.

Bagaimanapun, ada yang meninggal dunia dan ada juga yang memilih untuk meninggalkannya, menjadikan jumlah isteri yang masih bersamanya kini sebanyak 16 orang termasuk tujuh daripadanya merupakan adik-beradik perempuan.

Bagi kebanyakan wanita, berkongsi suami mungkin sesuatu yang sukar diterima, namun isteri-isteri Kapinga menyifatkan kehidupan mereka bahagia kerana suami mereka seorang lelaki bertanggungjawab dan menghormati wanita.

“Saya mendengar tentang kehidupan bahagia kakak saya bersama Kapinga, jadi saya juga mahu merasainya,” kata salah seorang isterinya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kapinga, rumah tangganya teratur kerana setiap isteri mempunyai rumah dan dapur sendiri. Mereka bertani bersama, makan bersama dan bekerja sebagai satu sistem keluarga yang tersusun.

“Ini bukan sekadar rumah, ia satu sistem yang berfungsi dengan baik,” katanya.

Untuk menampung kehidupan keluarga besar itu, mereka bergantung sepenuhnya pada hasil pertanian dan ternakan sendiri. Mereka menanam jagung, kacang, ubi kayu dan pisang, serta menjual lebihan hasil untuk menampung keperluan lain.

Namun, dengan lebih 100 anak dan ratusan cucu, Kapinga mengakui dia tidak mampu mengingati kesemua nama mereka.

“Saya ingat kira-kira 50 nama, selebihnya saya kenal bila melihat wajah mereka,” katanya.

Tambahnya, keluarganya sepatutnya lebih besar kerana dia telah kehilangan 40 anak akibat penyakit dan kemalangan.

“Saya sentiasa mengenang mereka yang telah tiada, tapi saya perlu teruskan hidup kerana masih ramai anak-anak yang memerlukan perhatian saya,” katanya.

Meskipun keluarganya besar, Kapinga menegaskan keharmonian keluarganya terjalin kerana mereka sentiasa berkomunikasi secara terbuka dan menyelesaikan masalah secara bersama.

Jika ada pertikaian, isteri-isterinya akan membawa masalah kepada Kapinga, yang bertindak sebagai penasihat tanpa memihak kepada sesiapa.

“Orang fikir saya yang mengawal segalanya, tapi hakikatnya wanita-wanita inilah yang memastikan keluarga ini terus bersatu. Saya hanya memberi panduan,” ujarnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!