Muhammad Sufi selamat jalani pembedahan implan tempurung kepala

Muhammad Sufi Abdul Aziz,36 menunjukkan bahagian tempurung kepala bahagian kanannya terpaksa dibuang akibat pendarahan otak yang serius berikutan terlibat dalam kemalangan pada Disember 2023. Foto Fail Bernama

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang sebelum ini tular menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Perkembangan itu dikongsikan ibunya, Noraini Ishak, 71, yang memberitahu pembedahan tersebut bemula pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 1 tengah hari

Noraini berkata, anaknya, Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berada dalam keadaan stabil dan masih memerlukan penjagaan rapi di hospital.

"Kalau semua tak ada masalah dan saluran darah di kepalanya berjalan baik mungkin beberapa hari lagi dia akan dibenarkan keluar hospital tapi sekarang ini memang perlu jagaan rapi sebab melibatkan bahagian kepala.

"Doktor nasihatkan dia tidak diganggu ketika ini, tak boleh tanya dia macam-macam takut ganggu proses penyembuhan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Noraini berkata, sejak kisah Muhammad Sufi tular di media sosial, anaknya itu berasa sedikit terganggu menyebabkan dia perlu sentiasa berada di sisi anaknya.

"Sekarang ini saya jaga dia di wad tapi saya ada upah seorang penjaga untuk dia...doktor nasihat dia tak diganggu dan saya nak simpan dulu telefon dia sebab tak mahu dia berhubung dengan sesiapa," katanya.

Warga emas itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan anaknya serta menyokong jualan daging salai yang diusahakan Muhammad Sufi.

Ahli fisioterapi Muhammad Sufi Abdul Aziz tidak 'menang tangan' menyiapkan tempahan daging salai daripada orang ramai setelah kisahnya mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala tular di media sosial baru-baru ini. Foto Bernama

Sebelum ini, video Muhammad Sufi menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepala tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Nasib Muhammad Sufi kemudian mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk menampung kos rawatannya.

Muhammad Sufi sebelum ini terlibat kemalangan selepas motosikalnya terbabas dalam kejadian di Tanah Merah, Jitra pada Disember 2023 yang menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk di kepala hingga sebahagian tempurung kepala terpaksa dibuang akibat pendarahan otak yang serius.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!