Sindiket proses dadah tumpas, polis rampas 11kg heroin

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dadah dengan merampas heroin bernilai RM105,600 dalam operasi khas di sekitar bandaraya ini dan Kulim, Kedah pada Isnin.
Dalam operasi bermula kira-kira jam 10 pagi hingga 7 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang berjaya menahan empat individu termasuk seorang wanita tempatan berusia 24 hingga 37 tahun.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, seorang lelaki ditahan dalam serbuan pertama di tepi jalan di kawasan bandaraya ini.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui 10 bungkusan mengandungi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 4.5 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM43,200.
"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah pusat cuci kereta di Bayan Lepas dan merampas 15 bungkusan heroin seberat 6.5kg bernilai RM62,400," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil risikan, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita di beberapa lokasi berasingan di Kulim, Kedah.
"Dalam tangkapan itu, kita turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah. Daripada hasil risikan, sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu digunakan oleh 55,000 penagih dadah," jelasnya.
Ujar beliau lagi, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis THC manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan," tegasnya.
Mohd Alwi menambah, selain rampasan dadah, polis turut menyita harta sindiket itu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan dua buah kereta bernilai RM200,000 dan dua buah motosikal bernilai RM13,000.
“Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM318,600.
"Kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu yang terlibat dalam sindiket ini dan siasatan lanjut masih diteruskan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

