Akauntan rugi lebih RM100,000 diperdaya pelaburan tidak wujud

Seorang akauntan berputih mata apabila wang lebih RM116,000 lebur selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang akauntan berputih mata apabila wang lebih RM116,000 lebur selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

NILAI - Seorang wanita berputih mata apabila wang lebih RM116,000 lebur selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, mangsa seorang akauntan di sebuah syarikat di Nilai dan berusia 45 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian itu pada Isnin.

Menurutnya, mangsa mengetahui berkenaan pelaburan tersebut melalui seorang individu yang dikenali menerusi aplikasi Weibo pada 9 Disember tahun lalu.

"Individu tersebut menawarkan skim pelaburan saham dan dijanjikan akan mendapat pulangan yang lumayan.

"Pengadu kemudian telah membuat transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan dengan jumlah lebih RM116,000," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pengadu sedar telah ditipu selepas tidak dapat membuat pengeluaran wang pelaburan dan keuntungan yang dijanjikan.

Susulan itu katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek.

"Polis turut menasihatkan orang awam agar membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!