Bertemu jodoh selepas terlibat kemalangan

BEIJING - Siapa sangka, pasangan ini bertemu jodoh kerana terlibat kemalangan jalan raya.
Lelaki dikenali sebagai Li, 36, dan isterinya yang berusia 23 tahun mengikat tali cinta dalam sebuah majlis di wilayah Hunan di China, baru-baru ini.
Mereka pertama kali bertemu pada Disember 2023 ketika Li memandu kereta dengan laju kerana hal kecemasan yang kemudiannya terbabit nahas.
Dia merempuh bakal isterinya yang ketika itu menunggang basikal elektrik hingga mengalami patah tulang selangka.
Wanita itu tidak menuntut sebarang pampasan hingga membuatkan hati Li tersentuh atas kebaikannya.
Sebagai balasan, Li melawatnya hampir setiap hari dan mula mengenali hati budi masing-masing hingga lelaki itu berani untuk mengakui cintanya, kira-kira tiga minggu selepas insiden kemalangan tersebut.

Pada mulanya, cintanya ditolak atas alasan jarak usia mereka, namun keikhlasan ditunjukkan Li akhirnya berjaya mencuri hati wanita berkenaan.
Mereka akhirnya berkahwin selepas 14 bulan kejadian nahas itu.
Perkahwinan mereka seperti babak dalam drama turut menerima reaksi mengujakan warganet.
"Kisah mereka sama seperti plot drama idola. Doakan yang terbaik buat anda," kata seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi berpendapat jodoh mereka sudah tertulis walaupun keadaannya agak tidak konvensional. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

