OKU maut jatuh landasan LRT bukan disebabkan kegagalan sistem

Anthony Loke bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
Anthony Loke bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menolak tanggapan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) gagal berfungsi dalam kejadian seorang lelaki kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas terjatuh dan dilanggar tren, Sabtu lalu.

Beliau berkata, meskipun siasatan kes itu masih berjalan, pihaknya yakin sistem berkenaan berfungsi dengan baik memandangkan tren terlibat berhenti sejurus pelanggaran berlaku.

"Saya tidak fikir begitu (kegagalan sistem) kerana kalau ada apa-apa objek jatuh dalam landasan, secara automatik sistem akan berhenti.

"Cuma dalam kes ini agak menyedihkan kerana mangsa jatuh ketika tren itu sudah sampai menyebabkan sistem pada tren tidak sempat dihentikan.

"Saya tak mahu merumuskan punca kejadian sehingga siasatan selesai, tetapi sudah tentu bukan atas faktor kegagalan sistem," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh di sini pada Isnin.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri.

Dalam kejadian 8.38 pagi itu, mangsa warga tempatan dilaporkan terjatuh ke landasan dan digilis tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) STAR Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Mangsa tanpa identiti itu ditemukan di bawah landasan rel tren dan disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Anthony meminta syarikat-syarikat bas mengemukakan segera permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi operasi bas tambahan sempena Aidilfitri tahun ini.

Katanya, sepertimana tahun-tahun sebelum ini, kerajaan sedia meluluskan permohonan tersebut berdasarkan permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung.

"Semua syarikat bas digalakkan memohon tambahan perjalanan ini dan sudah tentu kita beri kelulusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!