Pendandan rambut maut, kereta masuk laluan bertentangan rempuh 3 kenderaan

Antara kenderaan terlibat dalam kemalangan babitkan empat kenderaan di Jalan Semenyih-Kajang di sini pada Ahad.
Antara kenderaan terlibat dalam kemalangan babitkan empat kenderaan di Jalan Semenyih-Kajang di sini pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Seorang pendandan rambut maut setelah kereta dipandunya dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh tiga kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Semenyih-Kajang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan melibatkan empat kenderaan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.15 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian itu, tiga kenderaan iaitu Proton Persona, Perodua Bezza dan Toyota Camry daripada arah Beranang menghala ke Semenyih.

"Semasa ketiga-tiga kenderaan terbabit melalui Jalan Semenyih-Kajang, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu wanita berkenaan dari arah Semenyih telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan terbabit.

"Pelanggaran mengakibatkan Perodua Myvi itu berpusing sebelum terbabas ke tepi jalan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, akibat itu, pemandu Myvi berumur 21 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lagi pemandu salah sebuah kenderaan iaitu wanita tempatan berumur 27 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan.

"Dua lagi pemandu lain masing-masing merupakan lelaki tempatan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan ini," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!