Dua hari dilancarkan, Lelaki Terakhir sohor kini di Youtube

SELEPAS hits dengan lagu Wanita Terakhir, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbarunya berjudul Lelaki Terakhir.
Single yang mengisahkan tentang cinta sejati, kesetiaan, dan perjuangan dalam sebuah hubungan telah menarik perhatian ramai sehingga lirik video Lelaki Terakhir yang dilancarkan di platform YouTube rasmi @FattahAminYT pada 21 Februari lalu sedang menduduki carta trending bagi kategori muzik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini. Saya tidak menyangka lagu ini akan diterima dengan begitu baik dan trending di YouTube dalam masa yang singkat.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong lagu ini.
“Sejujurnya, perjalanan menghasilkan lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan pasukan yang hebat dan peminat yang sentiasa memberikan dorongan, saya berasa lebih bersemangat untuk terus berkarya. Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” ujar Fattah.
Menggunakan lirik yang puitis dan melodi yang menyentuh jiwa, Lelaki Terakhir menampilkan sisi emosional Fattah sebagai lelaki yang berjanji untuk sentiasa menjaga dan melindungi cinta sejatinya.
Dengan elemen muzik yang indah dan susunan melodi yang mendalam, lagu ini dicipta oleh komposer dan produser muzik yang pernah mencipta lagu Wanita Terakhir iaitu Mel Ramlan.
Lebih menarik, Lelaki Terakhir turut mendapat sentuhan lirik oleh Fattah sendiri.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat.
“Tujuan lagu ini dihasilkan dan dikeluarkan juga kerana lagu ini merupakan runut bunyi untuk drama bersiri terbaru lakonan saya sebagai Ansara dalam Keluarga Itu arahan Nur Ain Sharif dan ditulis oleh Eirma Fatima,” katanya.
Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan dalam masa terdekat di saluran YouTube rasmi Fattah Amin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

