PRN Sabah: Ruddy mahu pertahan kerusi DUN Pitas

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah kekal mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas miliknya dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas itu pernah bertanding atas tiket bebas dalam PRN16 lalu yakin penduduk di kawasan beliau masih memerlukannya untuk memajukan kawasan serta membantu mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
"Saya masih lagi mahu mempertahankan kerusi yang saya tanding atas tiket bebas itu untuk PRN kali ini.
"Jangan cakap saya guna Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebab saya bertanding bebas pun saya masih menang.
"Sebab saya tahu betul itu tempat saya, jadi apa lagi kalau bertanding atas tiket GRS di mana Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai presiden, tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Daerah Pitas di sini, pada malam Ahad.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pitas dalam masa sama berkata, tetap menyerahkan keputusan pemilihan calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
"Sama ada dicalonkan atau tidak, itu adalah keputusan pucuk pimpinan parti. Kalau dicalonkan itu bermakna rezeki daripada tuhan," katanya.
Ditanya adakah beliau akan mengambil langkah berani untuk bertanding bebas semula jika tidak dicalonkan, beliau berkata, ia tidak mustahil akan berlaku namun sudah tentu presiden parti melihat semula rekod pencapaiannya di kawasan.
"Jika tidak dicalonkan pun, saya kena fikir balik tapi ini tidak mustahil kerana kita tahu kawasan kita, jadi kalau ada cuba main api, saya tiada masalah dan saya bersedia.
"Tapi saya yakin dan percaya bahawa presiden parti adalah seorang yang berpandangan luas dan memikirkan tentang calon yang boleh menang.
"Semua pun mahu jadi calon tetapi boleh menang atau tidak itu tiada siapa yang tahu, hanya presiden parti yang boleh tahu kerana hasil daripada laporan daripada pihak tertentu kepada parti atau presiden," katanya.
Dalam pada itu, Ruddy berkata, beliau yakin sekurang-kurangnya lima DUN di bawah Parlimen Kota Marudu dan Kudat kekal milik GRS.
"Saya percaya kami boleh menawan lima kerusi daripada tujuh kerusi yang ada. Kita tahu kekuatan kita disebabkan Ketua Menteri Sabah yang mendengar apa juga rintihan dan masalah rakyat.
"Beliau mengarahkan kami turun padang dan mengatakan kami sebagai pembantu menteri jangan senang-senang saja duduk di kerusi di pejabat dalam penyaman udara," katanya.
Untuk rekod, ketika ini DUN Banggi, Pitas dan Tanjung Kapor di bawah Parlimen Kudat dan Matunggong serta Tandek di bawah Parlimen Kota Marudu adalah milik GRS.
Sementara itu, kerusi DUN Bengkoka dan Bandau dari Parlimen Kota Marudu masing-masing milik Barisan Nasional (BN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Dalam pada itu, beliau turut membidas pihak mendakwa bahawa GRS gagal.
"GRS sudah tiga tahun lebih berkuasa menjadi kerajaan saya nampak semakin hari melekat di hati rakyat, ini jujur saya katakan.
"Kalau ada mengatakan di luar sana bahawa GRS gagal, itu cakap mereka yang hanya mahu mengaburi mata rakyat dan mereka bercakap untuk mendapatkan kredit.
"Jika mereka katakan mahu sokong balik kepada Parti Warisan (Warisan) atau sokong balik kepada UMNO, rakyat sudah tahu UMNO biarlah balik ke semenanjung dahulu.
"Warisan biarlah mereka rehat dulu kerana sudah pun berkuasa sebelum ini, pernah jadi Ketua Menteri Sabah dan juga menteri, namun isu sekarang yang dikaitkan masih belum selesai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!