Johor bakal hab sukan antarabangsa

KEWUJUDAN fasiliti sukan canggih di Johor ketika ini menyaksikan beberapa acara sukan bertaraf dunia bakal dianjurkan di negeri ini pada masa akan datang.
Antaranya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan menjadikan negeri ini sebagai tuan rumah bagi acara sukan bola sepak pada temasya Sukan SEA 2027, selain lokasi bersesuaian sedang dikenal pasti bagi pembinaan gimnasium bekas juara Kejohanan Pertarungan Unggul (UFC), Khabib Nurmagomedov (Khabib Gym) di Johor Bahru.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI bersama Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bagi mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.

SINAR HARIAN: Johor kini dilihat sebagai antara venue berpotensi bagi penganjuran sukan bertaraf dunia. Dengan beberapa fasiliti serta kemudahan sukan sedia ada, bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat perkara ini?
MOHD HAIRI: Alhamdulillah, benar jika kita perhatikan negeri Johor kini menjadi pilihan sebagai venue penganjuran sukan bertaraf antarabangsa atau dunia.
Pertama sekali, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sentiasa mengambil berat dan maklum mengenai sebarang perkembangan sukan di negeri ini.
Semua sedia maklum, bagaimana komitmen dan usaha Pemangku Sultan membangunkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga terbinanya Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang kini dikenali di serata dunia.
Johor juga mempunyai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang cukup prihatin terhadap pembangunan belia dan sukan serta sering menyokong segala hal permintaan Orang Muda Johor (OMJ).
Selain itu, negeri Johor memiliki beberapa aset sukan lain khususnya aset dimiliki Perbadanan Stadium Johor (PSJ), dan aset-aset ini berpotensi untuk dijadikan sebagai venue penganjuran sukan bertaraf antarabangsa seperti bola sepak, ragbi, hoki, bola jaring, bola keranjang, memanah, berbasikal, e-sports dan lain-lain.
SINAR HARIAN: Johor merancang untuk membangunkan sukan padel dan pickleball pada masa akan datang. Ia juga dilihat sebagai antara tarikan bagi sukan pelancongan. Boleh YB huraikan mengenai perkara ini?
MOHD HAIRI: Menerusi pengumuman Menteri Besar Johor dalam Belanjawan Johor 2025, sebanyak lapan gelanggang sukan pickleball dan padel dengan peruntukan sebanyak RM500,000 akan dibina.
Empat daripada gelanggang itu dibina di Pusat Kecemerlangan Sukan, Nusa Duta dan empat lagi di Dewan Serbaguna Stadium Hoki Johor di Taman Daya.
Selain itu, terdapat juga pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang mengambil insiaitif membina fasiliti sukan pickleball di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri.
SINAR HARIAN: Setelah Sukma Johor 2020 dibatalkan susulan penularan Covid-19, apakah langkah-langkah yang dilakukan bagi menyelenggara atau menaik taraf gelanggang-gelanggang sedia ada bagi memastikan kesemuanya sentiasa dalam keadaan terbaik?
MOHD HAIRI: Fasiliti sedia ada kalau kita lihat tidak menjadi ‘gajah putih’ atau terbiar kerana saya kerap memantau dan sudah pastinya menekankan perkara ini khususnya kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan PSJ bagi memastikan kesemuannya diselia dengan baik termasuklah fasiliti baharu seperti Veldrom Johor, Pusat Akuatik Arena Larkin dan Lapang Sasar Johor.
Selain itu, beberapa fasiliti turut menjadi lokasi tumpuan penganjuran-penganjuran kejohanan tidak kira di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Contohnya di Taman Mutiara Rini pada 2023 lalu pernah menganjurkan Kejohanan Memanah Antarabangsa dan Kejohanan Antarabangsa BMX Johor pula menyaksikan keterlibatan pasukan dari Indonesia, Singapura dan Thailand pernah dianjurkan di Velodrom Johor.
SINAR HARIAN: Apakah langkah kerajaan negeri meningkatkan imej produk serta perkhidmatan dalam merealisasikan hasrat Satu Daerah Satu Industri (SDSI)?
MOHD HAIRI: Produk luar bandar dapat diikitraf sebagai produk Satu Daerah Satu Industri dengan kerjasama pejabat-pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain.
Produk tersebut boleh diketengahkan sekiranya para usahawan merebut dan mengambil peluang yang ditawarkan oleh kerajaan dari segi geran serta pinjaman yang dapat membantu menaik taraf produk dan syarikat mereka sendiri.
Menerusi Program Pengembangan Produk Usahawan Johor pula, ia dapat membantu para usahawan mempromosikan produk mereka.
Promosi ini dapat dilakukan melalui penglibatan usahawan terbabit dalam ekspo atau karnival di dalam dan luar negara, live streaming di media sosial yang dijalankan setiap minggu dan program – program rasmi kerajaan negeri selain program peningkatan kualiti produk bersama agensi persekutuan.

Selain daripada itu, antara usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) khasnya di luar bandar adalah menerusi penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif, pengalihan teknologi pembuatan daripada tradisional kepada moden, usaha sama dengan universiti tempatan dalam penyelidikan dan pembangunan, memperkasa jenama produk, menyertai ekspo perdagangan di peringkat antarabangsa serta memberikan anugerah dan pengiktirafan.
SINAR HARIAN: YB juga dikhabarkan sebagai gemar bersukan. Apakah sukan yang menjadi kegemaran YB dan ahli sukan yang paling YB minati?
MOHD HAIRI: Sukan kegemaran saya adalah bola sepak dan golf. Antara ahli sukan yang paling diminati adalah Muhammad Ali (dan Tiger Woods.
PROFIL
Nama: Mohd Hairi Mad SahAsal: Johor
Tarikh lahir: 6 Mei 1984
Jawatan dalam parti/KERAJAAN NEGERI: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,
Naib Ketua Pemuda UMNO.
JAWATAN DALAM KERAJAAN: Exco Belia, Sukan, Pembangunan Ushawan dan Koperasi Negeri Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Larkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!