Pakar cadang pengawal keselamatan di masjid

SHAH ALAM - Pihak pengurusan surau dan masjid disaran mempertimbangkan kehadiran pengawal keselamatan bagi memastikan kawasan premis sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk semua pengunjung.
Pakar Kriminologi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin bagaimanapun berpandangan, keperluan itu masih bergantung kepada beberapa faktor termasuk tahap risiko serta keperluan di setiap kawasan.
“Langkah ini perlu dirancang dengan teliti supaya tidak mengganggu suasana ibadat yang sepatutnya damai dan tenang.
“Bukan sekadar letak orang jaga tetapi pastikan mereka dilatih untuk bertindak pantas dan tepat jika berlaku situasi kecemasan kerana setiap kemungkinan ancaman tidak boleh diabaikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini tular rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Susulan itu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor memaklumkan, seorang lelaki berusia 19 tahun telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dalam pada itu Zalmizy mencadangkan agar latihan pengendalian situasi kecemasan dan ancaman secara efektif diberi kepada petugas institusi berkenaan supaya kawasan itu selamat untuk semua golongan masyarakat terutama kanak-kanak di samping penggunaan CCTV.
Sementara itu pakar kriminologi dari Management and Science University (MSU), Nadiah Syariani Md Shariff berpandangan, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani kes pedofilia atau serangan seksual terhadap kanak-kanak namun modus operandi jenayah sentiasa berubah selain menjadi semakin canggih mengikut peredaran masa.
Justeru beliau menegaskan, undang-undang tersebut perlu dipertingkatkan mengikut kesesuaian semasa selain komitmen semua lapisan komuniti termasuk ibu bapa, penjaga, institusi dan masyarakat diperlukan untuk pencegahan secara holistik dan efektif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
