'Pemandu sempat berhentikan kereta namun gagal keluar' - Polis

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan kereta yang terlibat dalam kemalangan sehingga pemandunya rentung di Kilometer 5.6, susur keluar Setia Tropika, Kempas di sini pada pagi Ahad, dipercayai terbakar lebih awal dan sempat dihentikan di tepi besi penghadang jalan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5 pagi.
Menurutnya, mangsa berusia 22 tahun rentung selepas terperangkap dalam keretanya.
"Kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa bergerak di lorong kanan menuju Skudai sebelum terbakar setibanya di lokasi kejadian.
"Mangsa sempat memberhentikan kenderaannya rapat ke besi penghadang, namun tindakannya itu menyebabkan dia terperangkap dan rentung di dalam kereta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi segera berusaha memadam kebakaran, namun gagal mengeluarkan mangsa dari kereta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ong Jin Siong, di talian 011-16490168 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
