Bowen buat Arsenal gigit jari di Emirates

Bowen inspirasi kemenangan West Ham di Emirates. Foto Agensi
Bowen inspirasi kemenangan West Ham di Emirates. Foto Agensi
A
A
A

MISI Arsenal untuk merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan hebat apabila dikejutkan kekalahan 0-1 kepada West Ham United di Stadium Emirates.

Kekalahan ini bukan sahaja yang pertama di gelanggang sendiri musim ini, malah hadir pada saat genting perebutan kejuaraan teratas bola sepak England tersebut.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Jarrod Bowen menerusi tandukan minit ke-44 sekali gus menghadiahkan kemenangan penting buat West Ham bimbingan Graham Potter

Arsenal kendalian Mikel Arteta yang beraksi tanpa penyerang utama akibat krisis kecederaan, jelas bergelut untuk menembusi pertahanan lawan The Hammers.

Biarpun menguasai permainan, skuad Arteta hanya mampu mencatatkan dua percubaan tepat ke sasaran, malah situasi menjadi lebih buruk apabila pemain gantian, Myles Lewis-Skelly, dilayangkan kad merah pada minit ke-73 kerana mengasari Mohammed Kudus.

"Kami amat kecewa dan marah. West Ham layak menerima pujian atas kemenangan ini," ujar Arteta selepas perlawanan sambil mengakui peluang kejuaraan kini tidak lagi berada di tangan mereka.

Sementara itu, di Stadium Goodison Park, Manchester United menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Everton 2-2.

Malah, skuad kendalian Ruben Amorim juga bernasib baik apabila terlepas daripada dikenakan penalti di penghujung perlawanan menentang anak buah David Moyes tersebut.

Tottenham Hotspur pula meneruskan momentum positif dengan kemenangan 4-1 ke atas Ipswich Town di Portman Road.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan ini adalah yang ketiga berturut-turut buat Spurs bimbingan Ange Postecoglou selepas menang ke atas Manchester United (1-0) dan Brentford (2-0) sebelum ini.

Wolverhampton Wanderers pula mencatatkan kemenangan mengejutkan 1-0 di Bournemouth, yang beraksi dengan 10 pemain selepas kehilangan khidmat Illia Zabarnyi minit ke-31.

Kemenangan ini membantu Wolves menjauhi zon penyingkiran, manakala Bournemouth terlepas peluang untuk memasuki kelompok empat teratas.

Brighton & Hove Albion pula mempamerkan aksi yang garang apabila membelasah pasukan tercorot, Southampton, 4-0 di tempat lawan manakala Crystal Palace turut meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Fulham dalam aksi derbi London.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!