Misi tiga terbaik Terengganu makin samar

IMPIAN Terengganu FC untuk merapatkan jurang dengan kelompok tiga teratas Liga Super semakin sukar apabila sekadar seri 2-2 menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat lalu.
Pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali, mengakui kecewa dengan keputusan itu menyifatkan kegagalan pemain memanfaatkan peluang dan hilang fokus di barisan pertahanan sebagai punca utama pasukannya hanya meraih satu mata, walaupun mendahului dua gol pada awal permainan.
"Malam ini kita lihat banyak sangat kelemahan. Saya sangat kecewa kerana kita melepaskan dua gol dalam masa dua minit. Kita hilang fokus... hilang konsentrasi.
“Kita mengawal perlawanan di kedua-dua babak permainan. Tetapi kita terlalu selesa hingga melepaskan gol mudah buat lawan. Seperti perlawanan sebelumnya, kita mencipta banyak peluang... tetapi gagal disebabkan ketumpulan penyudah,” kata Badrul Afzan selepas perlawanan.
Keputusan seri ini bukan sahaja menjejaskan peluang Terengganu untuk bersaing di kelompok atasan, malah turut menggugat kedudukan di tangga keempat liga.
Sementara itu, pengendali Kuching City FC, Aidil Shahrin Sahak, memuji semangat juang dan kerjasama berpasukan yang dipamerkan oleh anak buahnya.
Beliau berkata pemainnya tidak berputus asa dan terus berjuang untuk mencapai misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata walaupun ketinggalan dua gol.
“Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan menentang Kelantan minggu depan. Kita kena kerja keras untuk dapatkan tiga mata.
“Kita ada empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan selepas ini. Ia pasti memenatkan kerana kita bukan berada di semenanjung. Tetapi kita akan cuba hadapi dan dapatkan seberapa banyak mata,” kata Aidil Shahrin.
Terengganu kini berada di tangga keempat liga dengan 28 mata daripada 19 perlawanan, manakala Kuching City di tangga kelima dengan 24 mata daripada 18 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
