AMK Wilayah Persekutuan sokong Muhammad Kamil teraju AMK

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan penuh terhadap Muhammad Kamil Abdul Munim untuk menerajui jawatan Ketua AMK Malaysia pada pemilihan parti akan datang.
AMK Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan sokongan itu diberikan kerana Muhammad Kamil yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua AMK Malaysia mempunyai rekod kepimpinan yang baik sepanjang penggal 2022-2025.
“Beliau berperanan sebagai regu utama kepada Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim dalam mengemudi sayap parti tersebut.
“Malah Muhammad Kamil turut memiliki jaringan serta hubungan erat dengan rakan parti dalam Angkatan Muda Harapan (AMH), komponen Kerajaan Perpaduan, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan pertubuhan belia di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua AMK Wilayah Persekutuan,Muhammad Naqib Nassarudin; Ketua AMK Putrajaya, Mohammad Syazreen Ezam Mohd Saidi; Ketua AMK Wangsa Maju, Muhammad Azfar Azha Azhar; Ketua AMK Setiawangsa, Mohd Hilmy Yakap; Ketua AMK Kepong, S.Sassi; Ketua AMK Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya; Pemangku Ketua AMK Lembah Pantai, Ahmad Al- Husaini Nin Ja’afar; Ketua AMK Titiwangsa, Mundzir Zahir; Ketua AMK Labuan, Suboh Duyong; Ketua AMK Seputeh, Alexandre Ong Wai dan Ketua AMK Bukit Bintang, Mohamad Haidhir Mahmud.
Dalam pada itu, AMK Wilayah Persekutuan turut menyeru semua anggota AMK di cabang-cabang dalam Wilayah Persekutuan untuk memberi sokongan kepada Muhammad Kamil dalam pemilihan parti kali ini.
Pada masa sama, kepimpinan AMK Wilayah Persekutuan juga akan menampilkan beberapa pemimpin berpotensi bagi memperkukuh AMK Malaysia dalam menghadapi PRU akan datang.
Mesyuarat pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tahun 2025 akan bermula dengan proses penamaan calon pada 14 hingga 16 Mac 2025.
Pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April 2025.
Bagi peringkat pusat, pencalonan untuk jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita Pusat, dan AMK Pusat akan diadakan pada 3 dan 4 Mei 2025, manakala pemilihan bagi jawatan-jawatan tersebut dijadualkan pada 24 Mei 2025.
Manakala proses pemutihan keanggotaan PKR sedang berjalan, dengan pengesahan keanggotaan dan pendaftaran mengundi untuk pemilihan 2025 bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 16 Mac 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

