AMK Perak sokong Kamil Munim teraju AMK

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak memberikan sokongan penuh kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Abdul Kamil Munim untuk mengambil tempat sebagai Ketua AMK Malaysia pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.
Ketua AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, pihaknya percaya Muhammad Kamil merupakan individu yang paling layak untuk menerajui AMK Malaysia.
Menurutnya, Muhammad Kamil perlu diangkat sebagai pimpinan utama dalam memperkasakan suara anak muda serta memperjuangkan agenda reformasi dalam negara.
"Kami menyeru seluruh anak muda untuk bersatu dan memberikan sokongan kepada Muhammad Kamil bagi meneruskan agenda perjuangan parti.
"Kepimpinan muda yang progresif dan berwawasan amat diperlukan dalam memastikan kesinambungan perjuangan reformasi di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zaim Sidqi berkata, Muhammad Kamil merupakan seorang pemimpin muda berkaliber yang memiliki idealisme tinggi serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan PKR.
Katanya, anak Perak yang berasal dari Padang Rengas itu telah membuktikan keupayaannya dalam kepimpinan melalui pelbagai pengalaman politik dan profesionalnya.
Jelasnya, lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan seorang peguam serta menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan sejak Januari 2023.
Menurutnya, di dalam politik, Muhammad Kamil kini merupakan Timbalan Ketua AMK Malaysia serta merupakan bekas calon kerusi Parlimen Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 mewakili Pakatan Harapan.
Beliau berkata, AMK Perak yakin dengan rekod kepimpinan yang cemerlang dan semangat perjuangan tinggi, Muhammad Kamil mampu membawa hala tuju AMK Malaysia ke arah yang lebih baik.
Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Kamil mengakui wujudnya permintaan daripada akar umbi supaya beliau bertanding bagi jawatan Ketua AMK di peringkat pusat.
Katanya, atas dasar itu beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan terbabit pada pemilihan yang berlangsung Mei ini.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pada 24 Mei ini.
Pemilihan bagi jawatan di peringkat cabang, wanita cabang dan AMK cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!