LTTE: Lapan lelaki termasuk ADUN Gadek bebas

Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan lapan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan, 35, (tengah) dan juruteknik S. Arivainthan, 28, (dua, kiri) daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.- FOTO: BERNAMA
Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan lapan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan, 35, (tengah) dan juruteknik S. Arivainthan, 28, (dua, kiri) daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.- FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lapan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G Saminathan menarik nafas lega selepas empat Mahkamah Tinggi berasingan di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Collin Lawrence Sequerah serta Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan kesemua mereka dibebaskan selepas dimaklumkan timbalan pendakwa raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain Saminathan, 35, tujuh yang lain ialah juruteknik S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 39; seorang guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29 dan penghantar surat, S Teeran, 39.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, Muhammad Asyraf Minhad, Mohd Izhanudin Alias dan Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memohon prosiding kes itu dihentikan dan memberitahu bahawa tiada prospek untuk kesemua tertuduh dituduh semula.

Peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani mewakili Saminathan, Arivainthan, dan Suresh Kumar; peguam Dr N Ahilan mewakili Pumugan dan peguam A Mathan bertindak bagi pihak Chandru, Sundram, Kalaimughilan dan Teeran memohon mahkamah melepas dan membebaskan kesemua anak guam mereka, bukannya dilepas tanpa dibebaskan.

Hakim Muhammad Jamil berkata, memandangkan pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap kedua-dua tertuduh (Saminathan dan Arivainthan) dan tiada prospek untuk menuduh semula mereka, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua pertuduhan dihadapi.

Hakim-hakim lain juga membuat keputusan sama.

Kesemua mereka didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan Youtube di bawah nama iaitu 'Gsami Nanthan Siva', 'Ariventhan Subramaniam', 'Pumugan Tamilan', 'Rocketsuresh Dap', 'Chandru Suparmaniam','Elilan Elilan', 'Kalai Mugilan', dan 'Tamil Kannamah'.

Artikel Berkaitan:

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism, Cawangan Bukit Aman, di sini, antara 5 Oktober dan 11 Oktober 2019.

Empat daripada mereka iaitu Saminathan, Arivainthan, Chandru dan Kalaimughilan turut didakwa bagi pertuduhan memberi sokongan dalam satu majlis berkaitan LTTE di beberapa negeri antaranya Melaka, Perak dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2018.

Bagi pertuduhan memberi sokongan di laman sosial dan majlis, mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

Saminathan, Pumugan, Chandru, Sundram, Kalaimughilan dan Teeran masing-masing turut didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di beberapa lokasi termasuk di Rawang, Selangor; Kompleks Seri Negeri, Melaka dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang antara 10 dan 12 Oktober 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu jika sabit kesalahan.

Ahli keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN LTTE: AG tamatkan prosiding terhadap 12 individu

LTTE: ADUN Seremban Jaya lepas, bebas