Seorang lagi budak hilang diserang buaya

Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas diserang seekor buaya di Pulau Borneo, Indonesia. - AFP
Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas diserang seekor buaya di Pulau Borneo, Indonesia. - AFP
A
A
A

PONTIANAK – Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas diserang seekor buaya di Pulau Borneo, Indonesia, menjadikan ia serangan kedua dalam tempoh dua minggu.

Indonesia merupakan habitat kepada beberapa spesies buaya yang sering menyerang dan membunuh manusia.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa berusia 10 tahun dikatakan terjun ke dalam sungai di wilayah Kalimantan Barat sebelum diserang seekor buaya sepanjang empat meter, menurut rakannya yang menyaksikan kejadian itu.

"Rakannya melihat buaya itu timbul semula, menggigit tubuh mangsa dan membawanya ke tengah arus," kata Ketua Polis Daerah, Rachmatul Isani Fachri dalam satu kenyataan.

Bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera mencari anaknya menggunakan bot laju, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

"Pasukan mencari dan menyelamat bersama penduduk setempat masih giat menjalankan operasi pencarian. Mohon doa agar mangsa segera ditemui," tambahnya.

Sebelum ini, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, Cristian Ricardo, turut hilang selepas diserang buaya ketika mandi di sungai di kampung yang sama.

Operasi mencari Cristian berakhir selepas tujuh hari dan dia kini dianggap telah meninggal dunia.

Pulau Borneo, yang dikongsi oleh Brunei, Malaysia, dan Indonesia, mempunyai kawasan hutan yang luas dan menjadi habitat pelbagai spesies haiwan liar, termasuk buaya air masin.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember lalu, seorang wanita maut diserang buaya ketika bekerja di ladang kelapa sawit di wilayah yang sama, sebelum mayatnya ditemui semula.

Sementara itu, pada Ogos tahun lalu, seorang wanita berusia 54 tahun turut maut diserang buaya ketika mandi di sungai di Kepulauan Maluku, Indonesia. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!